Isteri kepada penyanyi Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek akui masih sayangkan keluarganya walaupun selepas lafaz talak kedua, hari ini.
Dr Afifah turut menafikan keretakan rumah tangga bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga namun hanya salah faham mereka berdua.
Advertisement
“Kadang-kadang rumah tangga ini ada pasang surut tapi saya masih sayangkan keluarga saya.
“Berkenaan orang ketiga, mungkin salah faham. Sebab masa kali pertama itu saya sedang mengandung anak pertama ketika di usia kandungan enam bulan," katanya ketika ditemui Gempak.
Dr Afifah berkata demikian setelah selesai perbicaraan pertama di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis.
Menjawab mengenai proses perdamaian, Dr Afifah menyerahkan keputusan pada pihak mahkamah.
“Sebab dia (Nubhan) dah failkan di mahkamah, jadi kita tengoklah apa kata mahkamah nanti.
Susulan itu, Dr Afifah enggan menggulas lanjut mengenai nafkah Nubhan pada anak-anak.
Pada prosiding yang berlangsung itu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Nubhan selaku plaintif diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala pihak defendan (Dr Afifah) diwakili oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurut peguam syarie itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Difahamkan, sejak kejadian itu pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup selama hampir 10 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.