Pempengaruh dan usahawan Prince Syed membuat laporan di Balai Polis Klang, di sini, petang semalam berhubung dakwaan diserang dan dipukul hingga cedera di tangan dan wajah.
Prince Syed atau nama sebenarnya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33, berkata, dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, empat individu dikenalinya itu datang menyerangnya yang berada di hadapan rumah kakaknya di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai, di sini.
Advertisement
Menurutnya, mereka memukul kepalanya dengan topi keledar beberapa kali dan menumbuknya pada bahagian wajah.
"Selain itu, mereka turut mencakar tangan saya sehingga berdarah, memecahkan cermin Proton X70 menggunakan topi keledar dan melakukan provokasi.
"Saya ada bukti iaitu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan apa yang terjadi berlaku disebabkan mereka anggap saya mengongkong serta menghalang isteri (Fatin Syazwani Ishak, 27) berjumpa mereka.
"Hakikatnya, isteri enggan berjumpa mereka atas sebab tertentu dan saya buat laporan polis untuk keselamatan diri serta bimbang mereka bertindak agresif ," katanya.
Dakwa Prince Syed, dia juga ada membuat satu laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, kelmarin selepas menerima desakan individu sama yang menuntutnya berpisah dengan isteri.
"Individu terbabit juga mengganggu dengan meminta saya menyerahkan dua anak berumur dua dan enam tahun sedangkan saya mampu menjaga mereka.
"Selain itu, ketika di rumah pada Jumaat lalu (31 Oktober), individu sama ada menghubungi kakak dan ibu bagi meminta saya berpisah dengan isteri dan mahu saya membuka sekatan nombor serta memberitahu keberadaan isteri jika tidak mahu diapa-apakan.
"Untuk apa kami berpisah sedangkan membina rumah tangga adalah satu yang mulia dan sebagai suami, saya kena pertahankan perkahwinan sampai akhir hayat.
"Kami 'hidekan' video di TikTok pun bukan sebab ada masalah cuma nak tenteram memandangkan isteri pun sebelum ini tak sihat dan pada masa sama, saya kena fokus dengan perniagaan, jadi tak nak mental kami terganggu," katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial video seorang wanita mendakwa ibu mentua Prince Syed ke sebuah rumah dan memaklumkan menantunya itu melarikan dan menghalang anak serta dan cucu berjumpa dengannya.
Dalam video sama, wanita berkenaan turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin Syazwani untuk menjadikan wanita itu tikus makmal dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi menjual produk pelangsingan badan.
Sumber: Harian Metro