Ahli kumpulan Dolla, Tabby meminta agar peminat dan orang ramai tidak mengaitkan selebriti lain dalam isu berpakaian seksi yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
Menerusi satu hantaran di platfrom X, Tabby menjelaskan bahawa setiap artis hanya ingin berkarya dan menggembirakan peminat mereka.
“Tolonglah bersikap baik kepada para artis. Kami semua hanya cuba menghasilkan muzik yang kami sayangi dan mencipta sesuatu yang boleh membahagiakan peminat,” katanya.
Tabby turut menzahirkan penghargaan buat peminat setia mereka, iDollas yang terus memberi sokongan tanpa henti.
“Kami sayang iDollas dan terima kasih kerana sentiasa berada di sisi kami,” tambahnya.
Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.
Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma' Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.
Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital susulan kritikan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang didakwa terlalu mencolok mata.
Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada.