Sekilas
- Rapper antarabangsa Macklemore digugurkan dari baki siri konsert jelajah Ed Sheeran, menyebabkan empat artis lain turut menarik diri.
- Vokalis Evanescence, Amy Lee, menegaskan pentingnya artis bersuara mengenai isu politik dan sosial melalui muzik sebagai solidariti kepada yang ditindas.
- Amy Lee akan mengadakan konsert Live in Kuala Lumpur pada 28 November 2026, dengan tiket bermula dari RM199 hingga RM1199 di GoLiveAsia.com.my.
Isu rapper terkenal antarabangsa, Macklemore yang digugurkan dari baki siri konsert jelajah Ed Sheeran telah menyorot perhatian dan menjadi bualan ramai.
Situasi itu juga telah memberi kesan sehingga empat lagi artis yang turut terlibat iaitu Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan Ireland, Beoga bertindak menarik diri.
Isu ini sedikit sebanyak mengimbau semula kenyataan vokalis Evanescence, Amy Lee yang sebelum ini pernah mengeluarkan pendapat bahawa seorang artis tidak semestinya perlu terus berdiam diri dalam bersuara mengenai konflik dunia.
Menerusi temu bual bersama The Guardian, Amy mengakui dirinya bukanlah seorang yang gemar bercakap mengenai politik. Namun, menurutnya, realiti kehidupan manusia hari ini membuatkan seseorang tidak boleh sentiasa memilih untuk berdiam diri.
“Saya benci politik, tetapi kewujudan kita sendiri tidak dapat dipisahkan daripada politik.
“Kebanyakan daripada kita tidak mahu ada kaitan dengan segala kekejaman yang berlaku hari ini, tetapi sebagai manusia yang mempunyai hati dan jiwa, kita perlu bangkit dan mengambil pendirian.
“Saya sudah tidak mahu membiarkan orang lain membuatkan saya berasa perlu berdiam diri atau tidak selesa untuk bercakap mengenai perkara yang kini kita panggil politik, sedangkan ia sebenarnya berkaitan soal hidup dan mati, rogol, pembunuhan beramai-ramai serta merampas hak orang lain.
“Muzik selama ini menjadi wadah untuk saya meluahkan segala yang ada dalam hati, jadi kini muzik menjadi saluran untuk menyuarakan perkara-perkara besar yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Kenyataan itu sedikit sebanyak memberi gambaran jelas mengenai bagaimana Lee melihat peranan muzik sebagai medium untuk meluahkan sesuatu.
Tambah pelantun lagu Bring Me To Life ini, seseoarang artis itu perlu berani dalam bersuara sebagai solidariti buat mereka yang ditindas.
“Saya bertemu dengan begitu ramai manusia di seluruh dunia yang mempunyai kepercayaan berbeza, namun kita sebenarnya tidak jauh berbeza.
“Kebanyakan manusia adalah insan yang baik dan sanggup membantu apabila melihat orang lain dalam kesusahan. Kebaikan itu sesuatu yang sangat berharga dan wajar dipertahankan.
“Kita perlu terus kuat, bersuara terhadap perkara yang tidak wajar dan tidak berundur dalam berdepan fahaman fasisme,” tambahnya.
Dan pastinya, suara Amy Lee itu bakal bergema pula di Kuala Lumpur menerusi konsert yang akan diadakannya pada 28 November depan.
Buat peminat yang membesar dengan lagu seperti Bring Me To Life, Going Under dan My Immortal, jangan lepaskan peluang untuk melihat sendiri persembahan daripada Amy Lee dan Evanescence menerusi konsert Live in Kuala Lumpur 2026.
Dapatkan tiket anda yang bermula dari harga RM199 hingga RM1199 di GoLiveAsia.com.my.