Skip to main content

Hiburan

Isu Pakaian Mencolok Mata, Universal Music Turunkan Muzik Video 'Question' Dolla - “Kami Hormati Sensitiviti Agama…”

fdfgfg

Ringkasan AI

  • Universal Music Malaysia telah menurunkan video muzik terbaru kumpulan Dolla dari semua platform digital susulan kritikan mengenai penampilan ahli kumpulan yang dianggap terlalu mencolok mata.
  • Keputusan ini dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyuarakan kebimbangan tentang pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan.
  • Universal Music Malaysia menegaskan mereka menghormati norma budaya tempatan dan mengambil serius maklum balas masyarakat pelbagai kaum dan agama.
  • Setiap perancangan kreatif akan melalui proses semakan lebih ketat dan libat urus profesional untuk mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan.
  • Pihak syarikat menghargai maklum balas peminat dan berharap isu ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat, dan industri muzik tempatan.

Universal Music Malaysia mengambil langkah menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla daripada semua platform digital susulan kritikan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang didakwa terlalu mencolok mata.

Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada.

Menurut Universal Music Malaysia, keputusan menarik balik video muzik tersebut dibuat selepas melakukan penelitian semula terhadap kandungan serta mengambil kira maklum balas masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata pihaknya sentiasa menghormati norma budaya tempatan dan peka terhadap sensitiviti penonton.

“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab terhadap sebarang kekhilafan.

“Kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Keputusan menurunkan video muzik ini adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.

Universal Music Malaysia turut memaklumkan bahawa setiap perancangan kreatif selepas ini akan melalui proses semakan lebih ketat termasuk libat urus profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.

Pihak syarikat juga merakamkan penghargaan kepada peminat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan industri muzik tempatan.

Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.

Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma' Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.

Must-Watch Video

Advertisement