Sekilas
- Ajak menafikan sebarang unsur sabotaj dalam insiden pekerja minta pelanggan buat bayaran ke akaun peribadi di restoran Bumbu Babah.
- Beliau mengakui masalah itu berlaku di beberapa cawangan dan telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan pekerja terbabit tanpa meneruskan tindakan undang-undang.
- Ajak mengingatkan pelanggan supaya tidak membuat bayaran ke akaun peribadi dan segera laporkan jika diminta berbuat demikian di mana-mana cawangan Bumbu Babah.
Pelawak dan pemilik rangkaian restoran Bumbu Babah, Ajak, menegaskan tiada unsur sabotaj insiden membabitkan pekerja yang meminta pelanggan membuat pembayaran ke akaun peribadi.
Pada masa yang sama, Ajak juga menepis dakwaan kononnya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap statusnya sebagai selebriti dengan sengaja mencipta hal seperti itu.
“Tidaklah, sebab saya ada tanya pada ramai peniaga-peniaga. Sebenarnya semua hadap benda yang sama, bukan Bumbu Babah sahaja. Cuma ada pelaku yang dapat ditangkap, ada yang tak dapat tangkap.
“Ada yang kadang-kadang dah tangkap pun, tapi disebabkan dia dah kahwin, ada anak, tak sampai hati. Saya boleh sahaja nak teruskan tindakan undang-undang, tetapi saya pilih untuk berhenti setakat beri nasihat dan tamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.
Ajak berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya terdapat pihak yang cuba menjatuhkan atau mensabotaj perniagaannya susulan insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ajak berkata, dia kini berjaya mengawal isu berkenaan walaupun sebelum ini ada beberapa cawangan berdepan masalah sama.
“Alhamdulillah, buat masa sekarang kita dah dapat tangani. Cuma sebelum ini ada beberapa cawangan yang mempunyai masalah itu. Tadi pun masa ambil gambar, ada peminat datang beritahu dia makan di salah sebuah cawangan dan diminta membuat bayaran ke akaun peribadi kerana kononnya akaun syarikat rosak.
“Sedikit sebanyak memang saya kecewa. Bayangkan bila kita buka banyak cawangan, kita sebenarnya nak bantu ramai orang dapat pekerjaan. Tetapi kalau ada pekerja yang buat perkara macam ini, dia bukan sahaja mengkhianati amanah, malah merosakkan syarikat.
“Saya harap bukan pekerja di Bumbu Babah sahaja, malah di mana-mana tempat kerja pun, bekerjalah dengan ikhlas. Saya percaya orang yang bekerja dengan ikhlas akan lebih berjaya daripada orang yang mengambil wang yang bukan hak mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Ajak mengingatkan pelanggan supaya tidak membuat sebarang pembayaran ke akaun peribadi sekiranya diminta berbuat demikian oleh pekerja.
“Saya harap semua pelanggan selepas ini, kalau datang ke mana-mana cawangan Bumbu Babah dan diminta membuat bayaran ke akaun peribadi, jangan buat pembayaran itu. Kalau perlu, tinggalkan sahaja premis tersebut dan maklumkan kepada pihak kami,” katanya.