Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa terharu atas keprihatinan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang tampil menghubunginya secara peribadi bagi menjelaskan isu rakaman semula lagu, Sinaran.
Nora menerusi hantaran terbaharu di Insta Story miliknya memaklumkan dia amat menghargai usaha Rossa yang menunjukkan keprihatinan terhadap isu hak cipta dan royalti lagu berkenaan.
Advertisement
“Alhamdulillah, saya sangat terharu, ‘salute' dan hormat kepada Datuk Rossa kerana mengambil berat dan sudi menghubungi saya untuk menjelaskan tentang isu ini.
“Saya baru sahaja mendapat panggilan daripada Datuk Rossa. Sebagai penyanyi, Oca sangat faham dan memberi kerjasama dengan isu ini.
“Beliau juga berharap agar saya mendapat hak saya. Terima kasih Rossa,” kongsinya.

Terdahulu, Nora memuat naik hantaran di Insta Stories mempersoalkan siapa yang memberi keizinan kepada Rossa merakamkan semula lagu Sinaran yang dimuatkan dalam mini album terbaharu penyanyi itu berjudul Asmara Dansa.
Dalam hantaran tersebut, Nora meluahkan rasa terkilan apabila lagu ciptaan arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dan komposer terkenal, Allahyarham Adnan Abu Hassan, digunakan tanpa sebarang keizinan.
Nora turut menegaskan isu pembayaran royalti tidak wajar dipandang remeh kerana membabitkan hak penggiat seni dan warisnya.
Untuk info, Rossa berkongsi video 'teaser' untuk EP terbaharu berjudul Asmara Dansa di media sosial.
Naskhah itu menampilkan versi baharu lagu Sinaran hasil kolaborasi bersama penyanyi rap popular tempatan, MK K-Clique.