Skip to main content

Filem

Jalani Latihan Filem Legasi: Bomba The Movie Buat Nas Terus Insaf - “Nampak Api Besar Atas Kepala! Dah Pakai PPE, Peluh Menitik Tetap Rasa Bahang”

Nas insaf jalani latihan bomba

Pelakon, Nas Muammar Zar akui berkongsi cabaran yang dihadapinya ketika melakonkan watak Eddy dalam filem terbaharunya berjudul Legasi: Bomba The Movie.

Pelakon, Nas Muammar Zar (Nas-T) berkongsi pengalaman mencabar ketika menjalani latihan intensif bagi menjayakan wataknya sebagai Eddy dalam filem Legasi: Bomba The Movie.

Advertisement

Menurut Nas, antara latihan paling mencabar adalah ketika dia dan pelakon lain ditempatkan dalam sebuah kontena besar yang dibakar secara terkawal.

Malah kata Nas, latihan itu bukan sahaja memberi kefahaman tentang situasi sebenar yang dihadapi anggota bomba, malah turut membangkitkan keinsafan dalam dirinya.

“Salah satu sesi latihan yang kami kena jalani adalah di mana mereka meletakkan kami dalam satu kontena yang besar dan mereka bakar kontena tu.

“Latihan itu adalah untuk kami memahami perjalanan api, jadi kita boleh nampak kalau api marak itu marak sampai naik atas kepala, kita tahulah macam mana nak padamkan, nak kawal api itu.

“Jadi itulah antara point latihan tersebut. Tetapi selepas latihan itu jujur cakap, saya terus insaf,” katanya kepada Gempak.

Jelas Nas lagi, ketika sesi latihan itu dijalankan, mereka dilengkapi dengan kelengkapan perlindungan seperti breathing apparatus (BA) dan pakaian perlindungan penuh (PPE), namun bahang api tetap dirasai sehingga ke tubuh.

“Ketika latihan itu kami pakai BA dan PPE, penafasan itu okay cuma peluh bila menitik itu boleh rasa bahangnya.

“Jadi kami dinasihati supaya kawal, jangan gabra, lagi kita gabra lagi banyak peluh akan keluar. Jadi kena tahan dan kekal tenang,” kongsinya.

Selain Nas, Legasi: Bomba The Movie dibintangi oleh Ben Amir, Henley Hii serta disokong oleh pelakon sampingan seperti Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak.

Legasi: Bomba The Movie ini merupakan sebuah produksi yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, menjadikannya bukan sahaja sebuah filem aksi, tetapi juga simbol aspirasi dan iltizam dalam mengangkat martabat serta pengorbanan wira bomba negara.

Aksi yang dipaparkan disalurkan dengan latihan intensif oleh JBPM sendiri, memastikan setiap gerakan dan prosedur kelihatan autentik di layar perak, sekaligus memberikan penghormatan kepada kepakaran sebenar anggota bomba.

Legasi: Bomba The Movie dipersembahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(КРКТ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersama rakan penerbit Multimedia Entertainment, GSC, ASTRO dan Six Fun, dipersembahkan bersama HONOR. 

Filem ini turut menerima sokongan padu daripada penaja utama CUCKOO serta penaja bersama Kinohimitsu, disempurnakan lagi dengan sokongan rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). 

Saksikan Legasi: Bomba The Movie di pawagam seluruh negara.

Legasi: Bomba The Movie bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghargaan kepada keberanian, pengorbanan, dan semangat kental anggota bomba Malaysia.

Sinopsis:
Diarahkan oleh James Lee dan Frank See, Legasi: Bomba The Movie mengisahkan tentang seorang anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) iaitu Amir (Ben Amir) yang berdepan dengan trauma silam.

Namun dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila sebuah menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar. 

Misi menyelamat ini menguji kekuatan fizikal, mental, dan semangat setia kawan mereka, dalam sebuah penceritaan yang menggabungkan realisme operasi penyelamatan dengan sentuhan dramatik yang menyentuh hati.

Must-Watch Video