Sekilas
- Dazrin Kamarudin menegaskan selebriti perlu patuh peraturan dan tidak boleh langgar undang-undang walaupun berstatus figura terkenal.
- Beliau menekankan pentingnya memohon lesen jika mahu mengadakan acara seperti mengundang busker atau penghibur.
- Dazrin menganjurkan Weekend Fête Al Aqsa Carpets untuk menyokong komuniti dan usahawan tempatan sambil mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pelakon, Dazrin Kamarudin, 38, berpandangan bahawa setiap individu, termasuk selebriti, perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Menurut Dazrin, status sebagai figura dikenali bukanlah tiket untuk mengabaikan atau melanggar peraturan.
“Memang idea saya banyak. Kalau orang cakap sesuatu itu tak boleh dibuat, saya akan cari jalan bagaimana nak jadikannya realiti. Tapi bila buat apa-apa pun, kita kena ikut peraturan.
“Jangan ingat kita selebriti, kita ini besar dan semua kita boleh langgar. Peraturan tetap peraturan.
“Jadi ikutlah peraturan yang ditetapkan. Kalau perlu mohon lesen, mohonlah lesen. Selagi saya tiada benda itu, saya takkan jalankan acara saya.
“Tak ada istilah sebab kita selebriti, kita boleh langgar semua benda. Saya langsung tak percaya perkara itu.
“Misalnya semalam saya ada niat nak bantu seorang busker, tapi kalau nak panggil busker ataupun ‘entertainer’ ataupun orang yang menyanyi, kena ada lesen,” katanya kepada Gempak.
Dazrin berkata demikian ketika majlis Weekend Fete Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dazrin berkata setiap individu perlu berani mengambil risiko, namun pada masa sama wajib memahami undang-undang serta akta yang berkuat kuasa.
“Kita memang kena berani ambil risiko, tapi dalam masa sama kena tahu akta-akta yang ada. Jangan langgar peraturan sebab kita mahu berbisnes dengan semua.
“Hormatlah semua badan yang mengawal selia. Kalau kita ikut peraturan, insya-Allah tak ada masalah untuk menganjurkan sesuatu acara.
“Alhamdulillah, saya tak pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tak mahu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dazrin turut menganjurkan program Weekend Fête Al Aqsa Carpets yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam di pekarangan Al Aqsa Carpets Factory Outlet .
Program tersebut bertujuan mewujudkan ruang komuniti yang lebih aktif dan meriah, di samping memberi peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk serta mengembangkan perniagaan mereka.