Sekilas
- Araff dari kumpulan Alpha menafikan dakwaan bahawa dia mahu berehat sementara waktu untuk melanjutkan pelajaran dan mengesahkan dia tidak tahu mengenai khabar angin tersebut.
- Hubungan Araff dengan anggota Alpha lain dilaporkan baik tanpa sebarang masalah seperti yang didakwa di media sosial.
- Alpha kini tercalon dalam beberapa kategori utama Anugerah Industri Muzik Ke-25 termasuk Artis Baharu Terbaik dan Vokal Kumpulan Terbaik menerusi lagu mereka yang popular.
Anggota kumpulan Alpha, Araff mengakui terkejut apabila mengetahui wujud dakwaan mengatakan bahawa dirinya mahu berehat buat sementara waktu daripada kumpulan tersebut untuk melanjutkan pelajaran.
Menafikan dakwaan itu, Araff atau nama sebenarnya Muhammad Amirull Hasraff Mohmmad Pilus berkata dia sendiri tidak mengetahui mengenai dakwaan berkenaan sebelum perkara itu dimaklumkan kepadanya.
Jelas Araff lagi, hubungan bersama anggota Alpha yang lain juga berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang masalah yang berlaku seperti yang didakwa.
“Untuk menjawab persoalan itu tidaklah kot, saya rasa benda itu mungkin adalah propaganda, sebab saya pun tak baca dan tidak mengetahui tentang perkara itu.
“Setakat ini hubungan saya dengan anggota Alpha yang lain pun alhamdulillah, baik dan anda semua di luar sana jangan risau.
“Jangan mudah percaya dengan apa yang orang cakap atau beritahu terutamanya tentang khabar angin dan alhamdulillah saya masih di sini,” tegasnya.
Araff berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) baru-baru ini.
Tidak marah atau kecewa dengan dakwaan tersebut, Araff bagaimanapun tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dipanjangkan.
Sebaliknya, Araff berkata kewujudan khabar angin adalah sebahagian daripada asam garam dalam kehidupan anak seni terutama apabila melibatkan perjalanan kerjaya seseorang artis.
“Sebenarnya marah pun tidak, sedih pun tidak, cuma saya hanya agak terkejut bila dapat tahu mengenai perkara ini.
“Tak marah, biasalah, pada saya benda sebegini memang akan wujud dalam kalangan kita, benda tak real sebegini memang akan wujud,” ujarnya.
Terdahulu, terdapat dakwaan di media sosial mengatakan Alpha bakal membawa haluan masing-masing selepas setahun berkecimpung dalam dunia seni.
Untuk info, Alpha tercalon dalam kategori Artis Baharu Terbaik menerusi lagu Mona Lisa dan juga Vokal Kumpulan Terbaik bagi lagu popular mereka yabg berjudul P Ramlee Saloma.
Sementara itu, lagu P Ramlee dan Saloma juga turut tercalon bagi kategori Lagu Pop Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.