Sekilas
- Shweta Sekhon menegur netizen yang mengkritik fizikal finalis Miss Universe Malaysia 2026 dan menegaskan setiap wanita berhak memiliki tubuh mereka sendiri tanpa dipaksa ikut standard kecantikan tertentu.
- Shweta mengingatkan bahawa kesihatan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan bentuk badan dan menyeru masyarakat Malaysia untuk memberi sokongan kepada finalis dalam perjalanan mereka.
- Selain itu, Shweta turut membintangi filem TERBANG yang akan ditayangkan pada 17 September, diinspirasikan daripada legenda rali negara, Karamjit Singh.
Pelakon dan pengacara Shweta Sekhon menyelar tindakan segelintir netizen yang mengkritik fizikal peserta Miss Universe Malaysia 2026 selepas senarai 15 finalis diumumkan baru-baru ini.
Shweta yang pernah bergelar Miss Universe Malaysia 2019 berkata, Shweta berkata setiap wanita tidak seharusnya dipaksa memenuhi bentuk atau saiz badan tertentu semata-mata untuk menepati standard kecantikan masyarakat.
“Saya tak suka apabila orang kata seseorang itu kena berada dalam bentuk atau saiz tertentu. Bagi saya, selagi sihat dan kesihatan tidak terjejas, itu sudah memadai.
“Pada akhirnya, tubuh kita adalah hak kita. Jangan cuba mengawal orang lain,” katanya.
Menurut Shweta, bentuk tubuh seseorang juga tidak boleh dijadikan ukuran tahap kesihatan mereka, apatah lagi menjadi alasan untuk menjatuhkan atau menghina individu terbabit.
“Siapa kata kalau kurus, kita sihat? Tak semestinya. Kita kena tengok kesihatan, jangan menilai daripada paras rupa.
“Kalau kita tak menilai buku hanya melalui kulitnya, kenapa kita mahu melayan manusia seperti itu?” ujarnya.
Dalam masa sama, Shweta menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada finalis Miss Universe Malaysia 2026 terutama ketika mereka baru memulakan perjalanan dalam pertandingan tersebut.
Katanya, sokongan masyarakat amat penting sekiranya negara mahu melihat lebih ramai wakil Malaysia mencipta kejayaan pada peringkat antarabangsa.
“Tolong sokong mereka. Kalau kita tengok negara lain, mereka sangat menyokong perjalanan ratu cantik mereka.
“Kalau kita sendiri tidak menyokong mereka, siapa lagi? Negara kita mempunyai potensi besar untuk melakukan sesuatu di luar sana,” katanya.
Sebelum ini, ada satu hantaran yang memaparkan video finalis Miss Universe Malaysia 2026.
Menerusi hantaran tersebut, di ruangan komen ramai netizen yang turut serta meninggalkan komen negatif terhadap fizikal peserta.

Menerusi perkembangan lain, Shweta turut membintangi filem TERBANG arahan Chiu Keng Guan yang diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh.
Filem yang turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan dan Nam Ron itu bakal menemui penonton di pawagam pada 17 September ini.