Sekilas
- Nad Zainal berkongsi tentang suaminya, Ungku Ismail, yang banyak membantu menguruskan keluarga terutama ketika dia sakit.
- Ungku menyediakan pembantu rumah dan membantu anak mereka bersedia untuk masuk darjah satu serta memasang CCTV di rumah.
- Nad juga menasihati agar tidak menutup hati terhadap lelaki hanya kerana pengalaman buruk lalu dan menghargai pilihan hidup solo.
Pelakon, Nad Zainal berkongsi sisi baik suaminya yang juga aktor, Ungku Ismail yang disifatkannya banyak membantu dirinya dan anak-anak, terutama ketika dia berdepan masalah kesihatan sehingga memerlukan bantuan untuk menguruskan keluarga.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Nad meluahkan rasa syukur apabila Ungku sanggup menghulurkan bantuan, termasuk menyediakan pembantu rumah ketika dirinya sakit serta membantu menguruskan persiapan anak untuk memasuki tahun satu.
“Alhamdulillah, dia gagahkan bagi maid sebab saya sakit, bantu anak nak daftar darjah satu, pasang CCTV takut kita pengsan kat rumah sebab baru balik hospital.
“Bantu Yem study sampai naik kelas. Memang dia nampak garang tapi dia ni lembut hati dan banyak cakap lagi banyak daripada Nad,” tulisnya.
Dalam pada itu, Nad, atau nama lengkapnya Farah Nadia Zainal Abidin, turut menitipkan pesanan kepada mereka yang memilih untuk hidup solo agar tidak menutup hati terhadap semua lelaki hanya kerana pernah melalui pengalaman buruk dalam hubungan terdahulu.
Menurutnya, tidak salah untuk memilih kehidupan tanpa pasangan, namun pengalaman pahit bersama seorang lelaki tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menganggap semua lelaki mempunyai sikap yang sama.
“It's okay untuk stay single, tapi jangan pernah beranggapan semua lelaki itu sama hanya kerana pernah trauma dengan satu lelaki. My version 'Bahagia Yang Tertangguh’,” ujarnya.
Sekadar info, Nad Zainal dan Ungku Ismail Aziz sah bernikah pada 23 Januari 2023 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.