Skip to main content

Selebriti

“Jangan Sebab Negara Lain Bagi Kemenangan, Kita Pun Terpaksa Bagi Menang” - Sharnaaz Ahmad

Jangan Sebab Negara Lain Bagi Kemenangan, Kita Pun Terpaksa Bagi Menang - Sharnaaz Ahmad

Pelakon, Sharnaaz Ahmad Sharnaaz Ahmad berharap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), untuk edisi kali ini tidak hanya menilai karya berdasarkan pencapaian di luar negara.

Menurut Sharnaaz, pengiktirafan yang diterima oleh sesebuah filem di peringkat antarabangsa bukan kayu ukur bagi kemenangan dalam penganjuran anugerah tempatan.

Advertisement

“Satu perkara sahaja yang saya harapkan daripada FFM, iaitu jangan sibuk apabila filem lain menang di luar (anugerah dari negara lain) lalu kita pun kena beri ia kemenangan di Malaysia juga.

“Jangan sebab negara lain bagi ia kemenangan, kita pun terpaksa juga bagi ia menang.

Sebaliknya, Sharnaaz berharap anugerah berprestij itu memberi tumpuan kepada mutu filem yang dihasilkan.

“Usahakan untuk meningkatkan filem tanah air  kita. Pastikan kemenangan itu diberikan kepada filem yang ada kualiti.

“Kalau saya tidak tercalon pun tidak mengapa,  yang penting filem itu berkualiti untuk menang,” ujarnya.

Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian FFM34 yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas mengenai kategori pencalonnya, Sharnaaz mengucapkan rasa syukur apabila filem lakonannya iaitu Blood Brothers: Bara Naga mengungguli pencalonan FFM34.

“Alhamdulilah untuk kesemua 13 pencalonan. Tahniah terutamanya kepada para pelakon, kru di balik tabir dan pengarah. Mudah-mudahan kita menang,” ujarnya.

Sekadar info, filem Blood Brothers: Bara Naga meraih 13 pencalonan menerusi 11 kategori iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Rekaan Kostum/Busana Terbaik.

Untuk makluman, Anugerah FFM34 akan berlangsung pada 1 November 2025, 8.30 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta YouTube FINAS.

Must-Watch Video

Advertisement