Sekilas
- Shawn Mendes menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan menggesa pembunuhan orang awam di Gaza dihentikan segera.
- Dia berkongsi usaha mendalami isu Palestin serta beberapa organisasi yang pernah menerima sumbangannya sebagai rujukan untuk bantuan.
- Shawn menyeru orang ramai agar berani bersuara, memberi sokongan, dan mengambil tindakan seperti menyumbang dan menggunakan hak mengundi untuk membantu Palestin.
Penyanyi, Shawn Mendes menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin susulan penderitaan yang berterusan di wilayah berkenaan, khususnya di Gaza.
Menerusi hantaran di Threads, pelantun lagu Mercy itu menyifatkan situasi yang berlaku sebagai sesuatu yang amat menyedihkan selain menggesa pembunuhan orang awam dihentikan segera.
"Pembebasan buat Palestin. Pembunuhan tidak masuk akal yang berlaku di Gaza di depan mata kita mesti dihentikan.
"Kanak-kanak dan keluarga di Palestin sudah terlalu lama menderita dan mereka memerlukan bantuan kita," tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Shawn mengakui dirinya sedang berusaha mendalami isu berkenaan dengan mendapatkan lebih banyak maklumat bagi memahami bagaimana dia boleh memainkan peranan untuk membantu.
Jelasnya, dia turut berkongsi beberapa organisasi yang pernah menerima sumbangan daripadanya sebagai rujukan kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan.
"Rakan-rakan dan penggiat seni, saya tahu mungkin menakutkan untuk bersuara. Saya sendiri merasakannya ketika menulis perkara ini.
"Namun, saya juga merasakan keperluan untuk melakukan sesuatu bagi membantu. Lebih ramai antara kita menggunakan suara untuk bersuara, lebih dekat kita kepada perubahan.
"Jika anda bersetuju, carilah keberanian dalam diri dan lakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu. Kanak-kanak di Palestin sudah terlalu lama terpaksa menjadi berani. Kini tiba giliran kita untuk melakukan perkara yang sama," katanya.
Pada masa sama, Shawn menyeru orang ramai agar membiasakan diri untuk bersuara dan mempertahankan golongan yang berdepan penindasan.
Malah, dia turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh dilakukan masyarakat, antaranya memberikan sumbangan, mendapatkan pendidikan mengenai isu berkenaan, memberikan galakan, mempersoalkan tindakan pihak berkuasa serta menggunakan hak mengundi.