Sekilas
- Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun dan menerima penghormatan terakhir daripada ribuan rakyat Malaysia serta pemimpin negara.
- Beliau dikenang sebagai tokoh negarawan yang memiliki sifat keibuan tinggi dan banyak berjasa dalam bidang perubatan serta pendidikan di Malaysia.
- Hubungan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohd selama lebih 70 tahun menjadi inspirasi dan contoh kepada rakyat Malaysia.
Hari Isnin, 28 September 2026 merupakan satu tarikh yang pasti akan dikenang kerana pada tarikh ini negara kehilangan satu tokoh negarawan yang cukup disayangi rakyat Malaysia iaitu Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 9.20 pagi.
Sewaktu Istiadat Pengebumian, ribuan orang terdiri daripada ahli keluarga, kenapan rapat, pemimpin politik, delegasi luar negara serta orang ramai tidak melepaskan peluang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir buat isteri Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohd itu.
Situasi ini menunjukkan betapa figura yang bernama Tun Hasmah ini sangat disayangi seluruh rakyat Malaysia.
Menjadi antara individu yang hadir memberikan penghormatan terakhir, pelakon, Ben Ali berpendapat bahawa sifat keibuan yang tinggi dalam diri Tun Hasmah merupakan antara faktor Allahyarhamah sangat disayangi rakyat Malaysia.
“Bagi saya, sebagai seorang tokoh negarawan beliau mempunyai sifat keibuan yang sangat tinggi. Saya pun sempat berjumpa dengan beliau beberapa kali. Sifat keibuan Allahyarhamah memang tak boleh dinafikan.
“Bukan kepada saya saja tapi pastinya buat seluruh rakyat Malaysia yang mungkin sudah menganggap beliau sebagai ibu mahupun nenek dalam kehidupan mereka.
“Jadi pemergian Allahyarhamah sangat menyedihkan bagi seluruh rakyat Malaysia terutama saya yang sudah berkesempatan berjumpa Allahyarhamah beberapa kali sebelum ini,” katanya kepada Gempak.
Tambah Ben, kisah cinta Tun Hasmah dan Tun Mahathir juga sering dijadikan contoh ramai memandangkan usia perkahwinan mereka melebihi 7 dekad.
“Keserasian antara Tun Hasmah dan Tun Mahathir membuatkan satu Malaysia kagum. Hubungan mereka sebagai suami dan isteri selama 70 tahun itu membuatkan ramai menjadikan contoh.
“Jadi, mereka berdua bukan sahaja tokoh dalam bidang politik dan juga kenegaraan, tetapi juga menjadi contoh kepada ramai mengenai perhubungan. Sebab itu saya rasa ramai rakyat Malaysia yang sayangkan Tun Hasmah dan Tun Mahathir,” tambahnya.
Sementara itu, pelakon Datuk Ziela Jalil berpendapat bahawa pemergian Tun Hasmah merupakan satu kehilangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Ia merupakan satu kehilangan yang sangat-sangat besar. Sikar nak digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya.
Ditanya pendapat mengenai ‘Why Malaysia Loves Tun Hasmah, Ziela berpendapat bahawa Allahyarhamah telah menabur banyak jasa dan bakti buat negara.
“Beliau seorang yang sangat-sangat hebat, baik, lemah lembut dan menjadi idola buat rakyat Malaysia.
“Malah, jasa dan bakti beliau sewaktu menjadi isteri Perdana Menteri juga cukup banyak. Tak dapat saya senaraikan tetapi rakyat Malaysia tahu akan jasa-jasanya itu,” tambahnya.
Dalam pada itu, seorang individu sama hadir bagi memberikan penghormatan terakhir turut merasakan pemergian Tun Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Saya sangat sedih ketika menerima berita kematian Tun Hasmah. Sebab beliau merupakan antara wanita Melayu terawal yang menjadi doktor di Tanah Melayu. Kemudian beliau antara pelopor yang memberi sumbangan kepada menurunnya kematian bayi di Kedah.
“Jadi, apabila beliau pergi tu, beliau bukan sahaja pergi sebagai seorang Tun Hasmah, tetapi pergi juga sebagai satu figura yang telah membentuk bangsa Malaysia dari segi bidang perubatan dan juga sosio masyarakat kita,” ujarnya.
Tambah individu tersebut, banyak jasa dan bakti Tun Hasmah yang pastinya akan dikenang semua rakyat Malaysia.
“Tun Hasmah antara yang paling banyak menyuntik soal pendidikan kepada masyarakat dan semestinya rakyat Malaysia sangat menyayangi beliau.
“Beliau juga dikenali sebagai Ibu Rakyat Malaysia. Bermakna di sini, nilai keibuan beliau sangat tinggi, kasih dan jasa beliau sangat besar kepada Malaysia. Jadi, pemergian beliau ialah satu tamparan yang sangat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Jasa, bakti dan sifat keibuan antara perkara dan sebab ‘Why Malaysian Loves Tun Hasmah’.
Pastinya, kesemua itu akan terus dikenang dan akan dirindu semua rakyat Malaysia.
Semoga roh Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.