Skip to main content

Filem

Jasmine Suraya Terkejut Filem Lakonannya Sebagai Khunsa Dipilih Wakili Malaysia Ke Oscar! - "Ini Permulaan Yang Baik..."

jasmine_oscar

Sekilas

  • Filem Pavane for an Infant lakonan Jasmine Suraya Chin terpilih mewakili Malaysia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-98.
  • Jasmine menganggap pemilihan filem ini sebagai momen bermakna dan impian terbesar yang berjaya dicapai dalam kerjayanya.
  • Filem ini mendapat pengiktirafan di beberapa festival antarabangsa seperti Festival Filem New York Asia dan Festival Filem Golden Horse Taipei.
  • Jasmine membawa watak Nurul, seorang wanita khunsa yang menghadapi konflik dalaman berkaitan identiti jantina dan kebebasan memilih.
  • Untuk mendalami watak, Jasmine belajar menunggang motosikal dan mendapat bimbingan daripada pelakon senior Ida Nerina sepanjang penggambaran.

Pelakon Jasmine Suraya Chin tidak menyangka filem lakonannya, Pavane for an Infant, terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) ke-98 yang bakal berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun depan.

Menurut Jasmine, pemilihan filem arahan Chong Keat Aun itu menjadi momen amat bermakna buat dirinya serta seluruh tenaga produksi yang terbabit dalam pembikinan karya tersebut.

“Pada awalnya memang terkejut sebab tak sangka filem ini dipilih. Lagipun tahun ini banyak filem Malaysia yang hebat, tetapi Pavane for an Infant terpilih antara yang terbaik.

“Saya sangat terharu dan gembira sebab ini kali pertama saya terlibat dalam filem yang mewakili Malaysia ke Oscar.

“Saya boleh katakan ini antara impian terbesar yang berjaya saya capai. Saya harap kejayaan ini membuka ruang kepada lebih banyak karya tempatan untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jasmine menjelaskan kejayaan filem itu bukan diukur berdasarkan nilai komersial semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kekuatan penceritaan dan pendekatan sinematografi yang jujur.

Beliau juga berbangga kerana naskhah terbitan Janji Pictures Production Sdn Bhd itu sudah mencipta nama di beberapa festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem New York Asia Ke-24 serta Festival Filem Golden Horse Taipei, yang disifatkan sebagai ‘versi Oscar’ untuk dunia sinema China, Hong Kong dan Taiwan.

“Ini merupakan permulaan yang baik dan peringatan kepada kita semua bahawa jalan cerita yang menyentuh jiwa tetap penting.

“Filem ini bukanlah karya arus perdana yang menjadi pilihan ramai, tetapi nilai seni dan kemanusiaannya cukup kuat,” katanya.

Bercerita mengenai peranannya dalam filem tersebut, Jasmine berkata dia membawakan watak seorang wanita bernama Nurul, yang dilahirkan sebagai khunsa.

Katanya, cabaran terbesar bukan sekadar dari segi fizikal, tetapi untuk benar-benar memahami konflik dalaman yang dialami oleh karakter tersebut.

“Nurul dilahirkan dengan dua jantina tetapi ayahnya memilih untuk membesarkannya sebagai wanita. Jadi dia membesar dengan perasaan malu dan keliru sebab hak untuk memilih jantina sendiri diambil orang lain.

“Saya cuba faham apa rasanya bila seseorang kehilangan kebebasan untuk menentukan siapa dirinya. Dari situ datanglah rasa kosong, marah dan sedih yang saya bawa ke dalam lakonan.

“Dalam filem ini saya mendapat bantuan daripada pelakon senior, Ida Nerina, yang bertindak sebagai guru lakonan. Saya juga belajar menunggang motosikal dan pergi ke set penggambaran seorang diri supaya saya betul-betul faham kehidupan Nurul yang datang daripada latar B40,” jelasnya.

Skincare

Kekal Cantik & Berseri

Rahsia kulit lebih licin, lembap dan berseri setiap hari! Dapatkan sekarang. 
Beli Sini

Must-Watch Video

Advertisement