Sekilas
- Jay-Z diumumkan sebagai penghibur utama separuh masa Super Bowl LXI pada 14 Februari 2027 di Stadium SoFi, Los Angeles.
- Ini merupakan penampilan pertama Jay-Z di pentas Super Bowl walaupun syarikatnya, Roc Nation, telah lama bekerjasama dengan NFL sejak 2019.
- Peminat mula membuat spekulasi tentang konsep persembahan dan kemungkinan kemunculan bintang terkenal serta pelancaran album baru oleh Jay-Z.
Rapper tersohor dunia, Jay-Z, diumumkan sebagai ‘watak utama’ yang bakal menggegarkan pentas Pantai Barat pada separuh masa Super Bowl LXI yang dijadualkan berlangsung di Stadium SoFi, Los Angeles, pada 14 Februari 2027.
Pengumuman tersebut dibuat Liga Bola Sepak Kebangsaan Amerika Syarikat (NFL) sekaligus menutup khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini tentang bintang kelahiran Brooklyn itu menjadi pilihan utama membuat persembahan pada acara sukan terbesar di Amerika Syarikat tersebut.
Mengulas mengenai pelantikan itu, Jay-Z menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu perjalanan istimewa dalam karier muziknya yang sudah menjangkau tiga dekad.
“Daripada Reasonable Doubt sehinggalah berdiri di pentas persembahan separuh masa Super Bowl, perjalanan ini sangat bermakna.
“Tiga puluh tahun muzik, usaha dan budaya di pentas terbesar dunia. Perjalanan ini terus menjadi impian yang menjadi kenyataan,” katanya menerusi satu kenyataan media seperti dilaporkan Billboard.
Ironi, sejak 2019, Jay-Z menerusi syarikatnya, Roc Nation, bertindak sebagai rakan strategik hiburan muzik secara langsung untuk NFL, namun 2027 akan menjadi sejarah penampilan pertamanya sebagai penghibur di pentas yang cukup sensasi itu.
Terdahulu, pentas Super Bowl telah dihangatkan dengan beberapa nama besar industri muzik termasuk Rihanna, Kendrick Lamar, Usher, The Weeknd dan Bad Bunny
Sementara itu, pesuruhjaya NFL, Roger Goodell, turut menyatakan keterujaannya terhadap pengumuman tersebut selepas sekian lama bekerjasama dengan Jay-Z dan Roc Nation.
“Selama beberapa tahun, kami mendapat keistimewaan untuk bekerjasama rapat dengan Jay-Z dan Roc Nation, dan saya sendiri menyaksikan impak luar biasa yang dibawanya kepada persembahan separuh masa Super Bowl.
“Ketika kami mula mencapai persetujuan dengan Roc Nation untuk menerbitkan persembahan itu, saya hanya mempunyai satu permintaan, iaitu agar Jay-Z sendiri naik ke pentas suatu hari nanti apabila tiba masanya.
“Saya sangat teruja untuk peminat di seluruh dunia menyaksikan bakat seni, kreativiti dan pengaruh budaya yang bakal dibawanya ke pentas Super Bowl,” katanya.
Dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengumuman NFL itu, peminat mula berdebat mengenai konsep persembahan yang bakal dibawakan Jay-Z. Ada yang menjangkakan rapper itu akan menguasai pentas secara solo sepanjang persembahan selama 15 minit, manakala sebahagian lagi berharap beliau akan menampilkan beberapa bintang terkenal yang pernah bekerjasama dengannya.
Malah, timbul juga persoalan sama ada pentas Super Bowl bakal menjadi platform untuk Jay-Z melancarkan album baharu, memandangkan album studio solo terakhirnya, 4:44, diterbitkan hampir sedekad lalu.
Selain itu ramai yang tertanya siapakah bintang popular yang bakal mencuri perhatian bersama legenda hip hop itu di pentas Super Bowl 2027?