Sekilas
- Pelakon Jazmy Juma dan isteri, Farah Athirah, menghadapi dugaan keguguran pada September lalu yang mereka anggap sebagai ujian untuk menjadi lebih kuat bersama.
- Jazmy percaya rezeki untuk bergelar bapa akan tiba pada waktunya dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah SWT.
- Mereka mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan, serta menganggap pengalaman ini mengajar mereka menjadi lebih matang dalam rumah tangga.
Pelakon, Jazmy Juma beranggapan dugaan yang ditempuh bersama isteri, Farah Athirah Rozman yang mengalami keguguran sekitar September lalu merupakan satu petanda untuk mereka saling kuat serta sentiasa ada untuk satu sama lain.
Menurut pemilik nama Jazmy Khan Juma Khan ini, dia juga percaya bahawa akan tiba masa untuk dirinya bergelar bapa satu hati nanti dan dia meletakkan sepenuh keyakinan itu kepada Allah SWT.
“Saya percaya kepada proses. Kalau belum lagi, maka belum lagilah. Maknanya saya mungkin belum bersedia.
“Allah sahaja yang tahu saya bersedia ataupun belum. Kalau belum diberi rezeki, maknanya saya kena sedar mungkin ada benda yang Allah nak jaga.
“Allah nak ajar supaya saya dan keluarga menjadi insan yang lebih kuat lagi,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai Farah, alumni program Hero Remaja ini mengakui isterinya berada dalam keadaan sedih, namun dia bersyukur kerana mereka dapat lalui ujian sukar tersebut dengan sokongan ahli keluarga.
“Ya, sudah tentu (bersedih). Tapi Alhamdulillah kami berjaya menempuh segalanya.
“Dibantu juga oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan sokongan moral daripada kakak-kakak. Kami juga minta nasihat mereka.
“Kami pun belum ada pengalaman jadi perkara ini mengajar saya dan isteri menjadi seseorang yang lebih matang,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Farah menyorot perhatian ramai apabila berkongsi khabar duka mengenai keguguran kandungannya.
Untuk rekod, Jazmy dan Farah mendirikan rumah tangga pada 27 Jun lalu selepas enam tahun menjalinkan hubungan cinta.