Penyanyi Thailand, Jeff Satur mencuri perhatian peminat di Malaysia apabila menyanyikan lagu popular kumpulan Alpha berjudul P Ramlee Saloma dalam konsert Jeff Satur Red Giant Tour 2025 in Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp KL pada Sabtu.
Lebih menarik dia tampil mengenakan busana baju Melayu lengkap menjadikan persembahannya lebih istimewa dan dekat dengan hati peminat tempatan.
Menerusi hantaran di Instagram rasmi kumpulan Alpha, rata-rata peminat meluahkan rasa kagum dengan vokal dan penyampaian Jeff.
Ramai berpendapat bahawa beliau telah berjaya membawa lagu tersebut dengan penuh penghayatan dan versinya tersendiri.


Sementara itu, ahli Alpha Izat, Sky dan Rizal Rasid juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyanyi tersebut kerana sudah memilih dan menyanyikan lagu P Ramlee Saloma dengan baik di konsert tersebut.
"Walaupun kami dah tengok tapi masih tak percaya, terima kasih," kata mereka.
Sekadar info, lagu P Ramlee Saloma merupakan ciptaan komposer Mohsein Kush dan Justin Seow.
Lagu ini juga masih kekal di tangga pertama carta RIM serta telah meraih lebih lapan juta strim di Spotify, menjadikannya antara karya paling berjaya daripada kumpulan Alpha yang dianggotai oleh Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Ray-D, Araff, dan Afiq Sky.