Sekilas
- Jenazah Allahyarham pelakon Dharma Harun Al Rashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Baru Caves, dengan kehadiran kira-kira 100 orang termasuk keluarga, rakan artis dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS.
- Dharma, 68 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju dan berita duka itu dikongsi oleh anaknya melalui Instagram story.
- Arwah pernah menghadapi tekanan kewangan serius tahun lalu dan menerima bantuan daripada beberapa pihak, namun kesihatan beliau merosot akibat pelbagai penyakit termasuk gastrik, asma, dan masalah jantung.
Kira-kira 100 orang termasuk keluarga dan rakan terdekat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham pelakon Dharma Harun Al Rashid.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Baru Caves, kira-kira pukul 12.30 tengahari, Rabu.
Antara rakan artis yang hadir ialah Zaidi Omar, Mubarak Majid, Datuk DJ Dave, Datuk Yusof Haslam, Noor Kumalasari dan termasuk yang lain.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Dharma diurus dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Dharma berusia 68 tahun dilapor meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju.
Berita duka itu dikongsi oleh anak kedua arwah iaitu Syafiq melalui hantaran di Instagram story (IGs).
Arwah pernah berdepan tekanan hidup sehingga hampir dihalau daripada rumah sewanya, tahun lalu, selepas gagal melunaskan tunggakan sebanyak RM7,500.
Sejak kisah kewangannya tular, bintang filem Adik Manja dilapor menerima bantuan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Pusat Zakat serta Yayasan Budi.
Bagaimanapun, beban yang menekan batinnya menyebabkannya kehilangan selera makan hingga berat badan merosot teruk iaitu dari 85 kilogram (kg) kepada hanya 45 kg.
Media sebelum ini melaporkan, arwah menghidap gastrik, asma, selain masalah bengkak pada jantung, paru-paru dan tiroid.
Sumber - OhBulan