Skip to main content
Advertisement

Berita Tempatan

Jerebu Jadi Kebimbangan, Keretapi Sarong 2026 Tetap Diteruskan Selagi Tiada Arahan Rasmi - "Ini Bukan Tahun Pertama..."

Jerebu Jadi Kebimbangan, Keretapi Sarong 2026 Tetap Diteruskan Selagi Tiada Arahan Rasmi - "Ini Bukan Tahun Pertama..."

Sekilas

  • Keretapi Sarong 2026 akan berlangsung serentak di 10 bandar termasuk tiga lokasi baru iaitu Padang Besar, Langkawi dan Kuching pada 16 September ini walaupun berdepan cabaran jerebu.
  • Penganjur sudah menyediakan pelan alternatif dan langkah keselamatan seperti pemakaian pelitup muka serta bekalan air mencukupi jika jerebu berterusan, namun acara akan diteruskan selagi tiada arahan rasmi menghentikan aktiviti luar.
  • Acara tahun ke-10 ini mengangkat tema ‘Sayang Malaysia’ dengan peserta digalakkan memakai kain sarung, batik, songket atau busana tradisional lain untuk meraikan kepelbagaian budaya.
Advertisement

Keretapi Sarong 2026 (KS26) yang bakal berlangsung serentak di 10 bandar seluruh negara pada 16 September ini turut berdepan cabaran jerebu menjelang sambutan Hari Malaysia.

Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, situasi jerebu bukan perkara baharu buat penganjur memandangkan keadaan sama sudah berlaku selama tiga tahun berturut-turut pada tempoh yang hampir sama.

Advertisement

Menurutnya, aspek keselamatan dan kesihatan tetap menjadi keutamaan, namun selagi tiada arahan rasmi daripada pihak berkuasa untuk menghentikan aktiviti luar, segala perancangan akan diteruskan seperti biasa.

“Ini bukan tahun pertama kita menghadapi jerebu. Ini merupakan tahun ketiga kita berdepan perkara yang sama, pada bulan yang sama dan soalan yang sama daripada pelbagai pihak.

“Kita maklum bahawa keselamatan dan kesihatan merupakan satu faktor yang sangat penting,” katanya kepada Gempak.

Shamsul berkata, pihak penganjur sudah menyediakan pelan alternatif sekiranya keadaan memerlukan, namun buat masa ini persiapan masih berjalan kerana KS26 sudah dirancang sejak hampir enam bulan lalu.

“Apa yang kita buat sekarang, sudah tentu kita dah ada pelan B. Tetapi selagi tidak ada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa untuk menghentikan apa-apa acara luar, kita masih teruskan perancangan kita.

“Kita dah merancang hampir enam bulan dari awal. Apa yang kita boleh buat sekarang ialah berdoa supaya keadaan jerebu ini berlalu dan kita boleh melaksanakan Keretapi Sarong bersama-sama kumpulan komuniti kerana semua orang memang menantikan acara ini,” katanya.

Dalam masa sama, beberapa langkah berjaga-jaga sudah dikenal pasti sekiranya jerebu masih berlaku ketika acara berlangsung.

Antara langkah yang akan disarankan termasuk pemakaian pelitup muka, memastikan peserta membawa air mencukupi serta langkah kesihatan lain mengikut keadaan semasa.

“Kalau masih ada jerebu, kita akan ambil langkah-langkah yang sepatutnya seperti memakai pelitup muka, pastikan air cukup dan sebagainya.

“Langkah-langkah ini juga akan kita war-warkan menerusi media sosial,” katanya.

Sempena edisi ke-10, KS26 bakal diperluaskan ke 10 bandar seluruh negara, termasuk tiga lokasi baharu iaitu Padang Besar, Langkawi dan Kuching.

Menurut Shamsul, penambahan tiga lokasi berkenaan membawa semangat Keretapi Sarong ke kawasan baharu, sekali gus memperluas jangkauan gerakan yang sebelum ini lebih sinonim dengan Lembah Klang.

“Padang Besar membawa kita ke pintu sempadan utara. Langkawi membuktikan bahawa semangat Keretapi Sarong tidak pernah terbatas kepada landasan.

“Kuching pula membawa perjalanan ini merentasi Laut China Selatan, mendekatkan sambutan kita kepada jiwa sebenar Hari Malaysia,” katanya lagi.

Selain tiga lokasi baharu itu, KS26 turut berlangsung di Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.

Bagi sambutan di Lembah Klang pula, peserta akan berkumpul di 12 stesen permulaan terpilih sebelum bergerak bersama-sama menuju ke destinasi rahsia.

Dalam pada itu, Shamsul menjelaskan konsep 'keretapi' yang digunakan dalam gerakan berkenaan membawa maksud lebih besar daripada sekadar pengangkutan.

“Bagi kami, itu bukan semata-mata kenderaan. Ia melambangkan gerakan manusia daripada tidak mengenali kepada saling memahami; daripada sekadar melihat kepada turut serta; dan daripada mewarisi budaya kepada memilih untuk meneruskannya,” katanya.

Keretapi Sarong yang dihidupkan semula oleh LOCCO pada 2017 kini memasuki tahun ke-10 penganjuran dan berkembang daripada acara flash mob budaya berskala kecil kepada gerakan sambutan Hari Malaysia di seluruh negara.

Bagi KS26, penganjur turut memperkenalkan Stesen Wanita di MRT Titiwangsa serta lagu tema rasmi pertama Keretapi Sarong berjudul ‘Joget Sarong’.

Mengangkat tema ‘Sayang Malaysia’, sambutan tahun ini mengajak orang ramai meraikan kepelbagaian budaya dengan mengenakan kain sarung, batik, songket atau busana tradisional lain.

Kredit Foto: Bernama, NSTP

Anda mungkin berminat dengan

Seluar Boxer Lelaki, Fesyen, Gaya Korea, Berjalur, Selesa, Bernafas, Lembut, Seluar Dalam

Seluar Boxer Lelaki, Fesyen, Gaya Korea, Berjalur, Selesa, Bernafas, Lembut, Seluar Dalam

(Ready Stock) Foil Tinsel Wigs Glitter Funny Halloween Colored Cosplay Metallic Crazy Masquerade Shiny Party Acessories

(Ready Stock) Foil Tinsel Wigs Glitter Funny Halloween Colored Cosplay Metallic Crazy Masquerade Shiny Party Acessories

12 inches Round Metallic Foil Party Decoration Balloon (10pcs) 19459

12 inches Round Metallic Foil Party Decoration Balloon (10pcs) 19459

adidas Football Liverpool FC Bottle Unisex Red JZ4451

adidas Football Liverpool FC Bottle Unisex Red JZ4451

RAV Design Mandarin Collar Short Sleeve Shirt

RAV Design Mandarin Collar Short Sleeve Shirt

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

Must Watch Video

Advertisement