Skip to main content

Berita Tempatan

JessC Rangkul ‘Best Asian Pop’ Di InterContinental Music Awards 2025

jessc

Penyanyi sensasi Malaysia, JessC, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori ‘Best Asian Pop’ menerusi lagu hit My Style di InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles, baru-baru ini.

Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukannya bukan sahaja sebagai bintang Asia, tetapi juga sebagai artis yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa. 

Advertisement

Album Mandarin My Style mencatat kejayaan besar di China, manakala album Melayu Dekati mencetuskan fenomena Demam JessC di Indonesia. 

Pada masa sama, single Inggerisnya Six Feet Deep berjaya menembusi pasaran Barat dengan siaran di stesen radio berpengaruh seperti Z-100 New York, Virgin Radio Vancouver dan KIIS FM Sydney.

ICMA yang diiktiraf sebagai antara anugerah muzik paling berprestij dunia turut melibatkan barisan juri yang pernah bekerjasama dengan nama-nama besar antarabangsa termasuk Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin. 

Hasil kerja JessC dipuji kerana berjaya menghubungkan muzik Timur dan Barat dengan gaya tersendiri.

JessC meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.

“Muzik ialah kuasa penyembuhan yang menghubungkan hati dan melangkaui budaya. Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini, dan anugerah ini adalah milik semua yang menyokong muzik kami,” katanya.

Kejayaan di ICMA juga membuka lebih banyak peluang buat JessC termasuk kemungkinan untuk dicalonkan ke pentas Grammy pada masa hadapan. 

Malah, JessC kini bersedia melancarkan kempen promosi global bagi single terbaharunya One Chance bermula bulan ini di Amerika Syarikat, sebelum diteruskan ke Eropah dan Amerika Selatan dengan sasaran menjelajah 50 negara dan 100 bandar menjelang hujung tahun.

Peminat tempatan pula boleh menantikan My Style World Tour Concert yang bakal berlangsung pada 20 Disember 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, selepas kejayaan konsert habis jualan di Genting Arena of Stars pada Mei lalu.

Must-Watch Video