Sekilas
- Jet Li menafikan dakwaan melakukan pemindahan jantung atau darah untuk kekal muda menerusi video penjelasan di media sosial.
- Beliau menegaskan bahawa tiada prosedur ajaib untuk kekal muda dan berkongsi pandangan tentang pentingnya mental yang sihat dan gembira.
- Jet Li turut berkongsi tiga tips untuk kelihatan muda iaitu mewarnakan rambut, memakai alat solek, dan menggunakan filter kecantikan.
Pesohor seni China yang kini menetap di Singapura, Jet Li muncul di media sosial menepis dakwaan dirinya melakukan pemindahan jantung atau darah untuk kekal muda.
Penafian tersebut dibuat menerusi video yang dikongsikan di media sosial, baru-baru ini.
Ia dilakukan bagi menjawab tuduhan dan spekulasi segelintir pihak yang mendakwa operasi pemindahan jantung yang dilakukan beberapa tahun lalu adalah untuk menjadikan dirinya kekal muda kerana penampilannya yang tidak dimamah usia.
Jet Li, 62, menerusi penjelasan dengan durasi 2 minit 48 saat itu, beliau membuktikan dirinya juga menjadi tua dengan menutup filter di video.
“Daripada kita sibuk mahu menukar itu dan ini, lebih baik kita ubah pemikiran masing-masing,” katanya di video tersebut.
Bintang Romeo Must Die itu kemudian mempertanyakan semula tentang dakwaan melakukan pemindahan darah boleh menjadikan dirinya lebih muda.
“Ada yang kata melakukan pemindahan darah akan menjadikan kita kekal atau lebih muda tapi adakah prosuder itu tidak haram?
“Betul ke stem cells boleh menjadikan kita sihat dan muda? Kalau betul mahu kekal muda, bukankah lebih senang jika melakukan pembedahan plastik?”katanya.
Aktor seni pertahankan diri itu juga memberitahu kehidupan yang baik adalah sentiasa berasa gembira.
“Jika saya hidup sehingg 300 atau 150 tahun pun tapi kalau mental saya di bawah paras 70, 80, lebih baik tidak. Saya tak mahu menderita,” katanya.
Beliau malah memberi tiga tips untuk kelihatan muda iaitu dengan mewarnakan rambut, memakai alat solek dan gunakan filter kecantikan.
Pada Ogos lalu, Jet Li berkongsi video keadaan dirinya menjalani pembedahan pada bahagian leher.