Sekilas
- Johan dan pelawak Sharif Zero akan menganjurkan Celebrity Showdown, kejohanan pickleball selebriti pada 16 September di Tomaz Pickleball Club, Subang.
- Lebih 60 artis dari pelbagai generasi akan bertanding dalam suasana santai dan kompetitif untuk memupuk hubungan dalam industri hiburan.
- Acara ini menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 dan dirancang untuk menjadi acara tahunan yang dinantikan oleh rakan-rakan industri.
Mahu menghimpunkan rakan-rakan industri menerusi sukan pickleball, penyampai radio, Johan bekerjasama dengan pelawak, Sharif Zero, menganjurkan Celebrity Showdown pada September nanti.
Johan atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz berkata kejohanan ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama artis menerusi sukan.
“Saya nak berkumpul sekali semua dengan kawan-kawan, nak main, nak gelak-gelak. Sebab saya rasa sukan ini yang akan merapatkan lagi antara selebriti-selebriti yang lain, dengan artis-artis yang lain yang mungkin tak pernah berjumpa, tak pernah duduk sekali, apatah lagi untuk bermain bersukan bersama-sama.
“Jadi, inilah masanya dan peluang. Sebab kalau tanya saya, saya tak nak menang pun. Tapi nakkan keseronokan itu. Saya nak tengok gelagat mereka yang lain itu.
“Saya percaya tak akan ada ‘pressure’. Sebab kalau sebelum ini, selebriti bila masuk pertandingan terbuka, mereka ‘pressure’ sebab mereka bawa nama.
“Bagi saya, sukan ini hobi dan untuk kami berseronok,” katanya kepada Gempak yang ditemui di sidang media Celebrity Showdown, di Serasa Garden, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, suami kepada aktres Ozlynn Wati ini berkata, matlamat mereka adalah untuk memastikan ‘Celebrity Showdown’ terus berkembang sebagai acara yang dinantikan oleh rakan-rakan industri.
“Insya-Allah, selagi pickleball terus aktif dan mendapat sambutan, kita merancang untuk buat lagi, mungkin setiap enam bulan atau setahun sekali.
“Yang penting, kita mahu ia berterusan dan menjadi satu acara yang boleh mengumpulkan rakan-rakan industri,” katanya.
Lebih 60 artis dan selebriti tanah air bakal berhimpun pada Celebrity Showdown, kejohanan pickleball selebriti yang akan berlangsung pada 16 September, bersempena sambutan Hari Malaysia.
Kejohanan yang bakal berlangsung di Tomaz Pickleball Club, Subang itu dianjurkan oleh 88 House of Event bersama Everxon Sdn Bhd, dan diterajui oleh Sharif Zero dan Johan Raja Lawak, dengan menghimpunkan rakan-rakan industri daripada pelbagai generasi dalam suasana pertandingan yang kompetitif tetapi santai.
Antara nama yang bakal terbabit adalah Khairy Jamaluddin atau KJ, Datuk AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Tomok, Ayie Floor 88, Harris Anuar, Luqman Hafidz, Imran Aqil yang bakal membentuk lapan pasukan.
Lapan pasukan berkenaan kemudiannya akan berentap bagi merebut gelaran juara Celebrity Showdown serta hadiah wang tunai RM10,000.