Sekilas
- Johan jarang aktif di media sosial dan hanya tahu video dirinya tular selepas dimaklumkan rakan-rakan.
- Perkongsian video kehidupan harian oleh isterinya, Ozlynn Wati, bertujuan memberi manfaat dan contoh positif kepada orang lain.
- Johan menegaskan usaha dan perkongsian dibuat demi keluarga serta mengajak orang luar fokus membahagiakan keluarga masing-masing.
Pelawak dan penyampai radio, Johan mendedahkan dia ada kalanya hanya mengetahui video mengenai dirinya tular di media sosial selepas dimaklumkan rakan-rakan.
Menurut Johan, situasi itu berlaku kerana dia tidak aktif menggunakan media sosial seperti kebanyakan orang dan hanya mengakses akaun menerusi komputer.
“Saya akan tahu tiga atau empat hari kemudian, sebab saya boleh ‘log in’ media sosial isteri tetapi di komputer. Jadi bila saya masuk, tengok sudah empat atau lima video yang dimuat naik.
“Saya sudah diperli dulu oleh kawan-kawan di padang masa saya bermain bola, dan dari situ baru saya tahu sebab Ozlynn sentiasa ambil video sampai kadang-kadang saya sendiri tak tahu video mana yang kawan-kawan maksudkan,” katanya.
Johan turut berkongsi satu pengalaman apabila video dirinya sedang mencuci pakaian mendapat perhatian rakannya yang kemudian menjadikannya sebagai contoh dalam kehidupan seharian.
“Sampai satu kali ada kawan saya tegur sebab video saya cuci baju, dia terkena sama dengan isterinya. Katanya, kalau artis boleh cuci baju, takkan yang lain tak boleh.
“Secara tak langsung, yang baik, kalian boleh ambil dan yang tak baik, tinggalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johan menjelaskan perkongsian mengenai kehidupan hariannya yang dilakukan isterinya, Ozlynn Wati menerusi media sosial bukan bertujuan untuk mengejar pujian atau perhatian.
Sebaliknya, dia berharap perkongsian berkenaan dapat memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi contoh dalam perkara-perkara positif.
“Kalau benda saya buat dapat memberi manfaat pada orang lain, saya dapatlah pahala. Sebab untuk manusia, baik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain.
“Saya ini bukanlah baik sangat tetapi bila dapat pahala sana sikit, sini sikit, boleh bantu saya kelak, apa salahnya. Saya ini banyak kekurangan dan perlu banyak perbaiki,” katanya.
Lebih penting, Johan mengakui segala usaha dan perkongsian yang dilakukan adalah demi keluarga, selain mahu memastikan kehidupan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan bahagia.
“Cuma, saya tak mahu hidup dek puji, mati dek keji. Saya buat semua ini untuk keluarga saya dan saya kerja pun keluarga saya. Macam mana pun saya kena usaha untuk lakukan dan buatkan keluarga saya bahagia.
“Jadi saya harap sangat orang luar dapat bahagiakan keluarga mereka dulu. Itu yang penting. Sebab semuanya bermula daripada rumah, buat kebaikan semua daripada rumah. Bermula daripada rumah, awal akan bawa ke luar,” katanya.