Sekilas
- Angelina Jolie telah menjual rumah mewahnya di Los Angeles pada harga AS$24.75 juta selepas memegangnya sejak 2017.
- Rumah bersejarah itu mempunyai enam bilik tidur, 10 bilik air, dan pelbagai kemudahan mewah di atas tanah seluas dua ekar.
- Jolie merancang untuk meninggalkan Los Angeles dan menghabiskan lebih banyak masa di Kamboja serta menjalani gaya hidup nomad selepas anak-anaknya mencapai umur 18 tahun.
Aktres Hollywood Angelina Jolie dilaporkan semakin bersedia memulakan fasa baharu dalam kehidupannya selepas menjual kediaman mewahnya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Rumah bersejarah yang terletak di Los Feliz itu dijual pada harga AS$24.75 juta, kira-kira RM104 juta, selepas dipasarkan sejak Mei lalu pada harga hampir AS$30 juta. Jolie membeli hartanah tersebut pada 2017 dengan harga AS$24.5 juta.
Kediaman seluas kira-kira 11,000 kaki persegi itu pernah dimiliki pengarah legenda Hollywood, Cecil B. DeMille dan mempunyai enam bilik tidur serta 10 bilik air.
Selain kolam renang, rumah berkenaan turut dilengkapi perpustakaan, gimnasium, bilik simpanan wain, rumah teh dan beberapa ruang tambahan di kawasan tanah seluas dua ekar.
Penjualan tersebut kembali mencetuskan perhatian terhadap rancangan Jolie untuk meninggalkan Los Angeles selepas anak bongsunya, pasangan kembar Knox dan Vivienne, mencapai usia 18 tahun pada Julai lalu.
Bagaimanapun, laporan terkini menyebut aktres berusia 51 tahun itu masih belum menentukan satu lokasi tetap sebagai kediaman utamanya selepas meninggalkan Los Angeles.
Sumber terdekat memberitahu TMZ bahawa Jolie dijangka lebih banyak mengembara, melawat anak-anaknya yang kini sudah dewasa selain meneruskan pelbagai tugasan di peringkat antarabangsa.
Kemboja antara lokasi yang cukup dekat di hati Jolie. Dia sudah memiliki kediaman di negara berkenaan dan turut menjalankan kerja menerusi yayasannya di sana.
Jolie sendiri sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menghabiskan lebih banyak masa di Kamboja apabila sudah boleh meninggalkan California.
“Aku membesar di bandar ini. Aku berada di sini kerana perlu menjalaninya akibat perceraian, tetapi apabila anak-anak berusia 18 tahun, aku akan boleh pergi,” katanya dalam wawancara terdahulu.
Menurut Jolie, keperluan terhadap privasi, ketenangan dan keselamatan keluarganya menjadi antara sebab dia terus menetap di Los Angeles ketika anak-anak masih membesar.
Selepas meninggalkan California, Jolie berkata dia mahu menghabiskan banyak masa di Kamboja selain melawat ahli keluarganya yang berada di beberapa lokasi di seluruh dunia.
Terbaharu, Jolie turut menyatakan hasrat untuk menjalani kehidupan yang lebih nomad dan lebih banyak menetap di luar Amerika Syarikat.
Hubungan Jolie dengan Kamboja bermula sejak lebih dua dekad lalu selepas berkunjung ke negara itu untuk penggambaran filem ‘Lara Croft: Tomb Raider’ pada 2001.
Dia kemudiannya mengangkat Maddox sebagai anak dan terus mempunyai hubungan rapat dengan negara berkenaan menerusi pelbagai kerja kemanusiaan serta projek kreatif.
Sumber: Wolipop / TMZ