Sekilas
- Justin Baldoni dan isterinya, Emily, akhirnya bersuara selepas hampir dua tahun berdiam diri mengenai kes undang-undang dengan Blake Lively yang melibatkan filem It Ends With Us.
- Kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian di luar mahkamah pada Mei lalu, menamatkan pertikaian yang bermula dengan saman dan saman balas berhubung dakwaan gangguan seksual dan fitnah.
- Pasangan Baldoni kini fokus pada proses penyembuhan dan keluarga, sambil berjanji akan berkongsi lebih lanjut apabila tiba masanya.
Selepas hampir dua tahun memilih untuk berdiam diri, pelakon dan pengarah Justin Baldoni akhirnya tampil bersuara mengenai kemelut undang-undang yang membabitkannya dengan rakan lakon, Blake Lively di filem It Ends With Us.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram pada Rabu, Justin muncul bersama isterinya, Emily Baldoni, berkongsi luahan hati buat pertama kali selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian kes di luar mahkamah.
"Kami tidak bercakap secara terbuka selama hampir dua tahun, bukan kerana kami tiada apa-apa untuk diperkatakan," kata Baldoni seperti dilaporkan People.
Menurutnya, mereka sudah berkali-kali mahu tampil menjelaskan keadaan, namun setiap kali hasrat itu muncul, mereka merasakan ia bukan waktu yang sesuai.
"Kami berbincang, merenung dan berdoa mengenainya. Akhirnya kami rasa sekarang adalah masa yang tepat," ujarnya.
Dalam video berkenaan, pasangan itu turut mengakui melalui tempoh yang amat sukar sehingga memberi kesan emosi kepada mereka sekeluarga.
"Kami berdepan banyak trauma. Ada masanya sukar untuk kami bercakap secara terbuka. Kami sering tertanya-tanya bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia dilihat seolah-olah memperjuangkan wanita. Masih banyak perkara yang perlu diperjelaskan," kata isteri bintang itu pula.
Baldoni kemudian menjelaskan mereka sengaja memilih untuk tidak menambah "kebisingan" sepanjang kes berjalan.
"Banyak perkara menyakitkan telah diperkatakan sepanjang dua tahun ini. Kami tidak mahu menambah lagi kekecohan. Kami hanya mahu sistem keadilan menjalankan tugasnya," katanya sebelum Emily menambah ‘kebenaran dan fakta akhirnya bercakap dengan sendirinya’.
Pasangan itu memberitahu kini sedang melalui proses penyembuhan selepas pengalaman yang sangat mencabar.
"Kalau anda pernah melalui trauma, anda pasti tahu proses untuk pulih bukan sesuatu yang berlaku secara lurus. Setiap hari berbeza," katanya.
Dan pengalaman itu membuatkan mereka kembali menilai perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan.
"Keluarga, sahabat, komuniti dan kepercayaan kami menjadi kekuatan utama. Semua ini menjadikan hubungan kami lebih rapat dan lebih teguh berbanding sebelum ini.
"Masih banyak yang ingin kami katakan. Masanya akan tiba. Buat masa ini kami hanya mahu memberi tumpuan kepada proses penyembuhan, meluangkan masa bersama anak-anak dan menikmati kehidupan," katanya lagi.
Kontroversi di antara dua bintang utama itu bermula pada Disember 2024 apabila Lively memfailkan saman terhadap Baldoni serta beberapa individu lain yang terlibat dalam penerbitan It Ends With Us dengan dakwaan gangguan seksual dan tindakan balas.
Baldoni bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut sebelum memfailkan saman balas bernilai AS$400 juta terhadap Lively, suaminya Ryan Reynolds, publisiti Leslie Sloane serta firma perhubungan awam milik Sloane atas dakwaan fitnah dan pelanggaran kontrak.
Namun, saman balas itu kemudiannya ditolak mahkamah. Menjelang perbicaraan, hanya beberapa tuntutan berkaitan dakwaan tindakan balas masih diteruskan sebelum kedua-dua pihak akhirnya mencapai penyelesaian pada Mei lalu, sekali gus menamatkan pertikaian yang berlarutan selama berbulan-bulan.
Peguam Lively menyifatkan keputusan itu sebagai satu langkah penting yang memberi mesej bahawa tindakan menggunakan saman sebagai alat intimidasi akan menerima akibatnya.
Sementara itu, peguam aktor itu dan Wayfarer Studios, Bryan Freedman, pula menyifatkan penyelesaian tersebut sebagai "kemenangan mutlak" buat anak guamnya.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan selepas penyelesaian dicapai, Lively bersetuju menarik balik baki tiga tuntutannya tanpa sebarang bayaran daripada pihak Wayfarer, walaupun sebelum itu menuntut ganti rugi sebanyak AS$300 juta.
Untuk rekod, It Ends With Us yang diadaptasi daripada novel laris karya Colleen Hoover menyaksikan Lively sebagai pelakon utama, manakala Baldoni bukan sahaja membintangi filem itu, malah bertindak sebagai pengarah. Filem berkenaan mencatat kejayaan besar apabila meraih kutipan melebihi AS$350 juta di seluruh dunia.