Sekilas
- Ayda Jebat menjelaskan bahawa sikapnya yang kelihatan sombong ketika acara rasmi adalah disebabkan peraturan ketat penganjur yang melarang bergambar di luar kawasan tertentu.
- Dia menegaskan jarang menolak permintaan peminat untuk bergambar dan sanggup berhenti walaupun diiringi pengawal peribadi.
- Ayda juga mengingatkan bahawa artis juga manusia biasa yang ada masa penat dan mood berubah-ubah, serta memohon maaf jika ada yang terasa hati dengan sikapnya.
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mengakui terkejut apabila namanya dipetik oleh segelintir pihak yang menganggapnya bersikap sombong apabila tidak melayan permintaan bergambar dalam sesuatu acara.
Menurut Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat terdapat situasi tertentu terutama ketika menghadiri acara rasmi yang mempunyai peraturan ketat daripada pihak penganjur, termasuk larangan untuk bergambar di luar kawasan yang dibenarkan.
Bagaimanapun, Ayda menegaskan bahawa dia secara peribadi jarang menolak permintaan peminat untuk bergambar, malah sanggup berhenti walaupun diiringi pengawal peribadi.
“Kadang-kadang di sesuatu acara bukan kita tak nak ambil gambar atau sombong, tapi memang syarat event itu tak dibenarkan untuk ambil gambar kecuali di main stage ataupun bila dibenarkan oleh pihak penganjur.
“Saya jarang tidak ambil gambar bersama peminat. Walau ada bodyguard sekalipun, saya tetap akan berhenti untuk ambil gambar. Mungkin kalau ada pengalaman tak best yang buat orang rasa saya sombong, mungkin ia tak disengajakan.
“Saya tiada niat, minta maaf. Pada saya, perkara seperti ini tak perlu diperbesarkan. Lebih baik kita kongsikan perkara yang baik-baik,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Ayda turut mengingatkan bahawa artis juga manusia biasa yang mempunyai emosi dan keadaan diri yang berubah-ubah, sama seperti orang lain.
“Artis pun manusia biasa. Ada masa kita bekerja, ada masa kita keluar untuk berehat. Kadang-kadang bila penat, mood untuk beramah mesra tu mungkin tak tinggi. Jadi kita rasa nak cepat saja selesaikan urusan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia tidak mengambil hati sekiranya namanya dipetik oleh netizen, sebaliknya memilih untuk melihat perkara tersebut dari sudut positif.
“Saya tak rasa terkilan atau down bila nama disebut. Mungkin mereka ada pengalaman masing-masing, atau ada juga yang nak hypekan cerita. Betul atau tidak, hanya Allah yang tahu.
“Tapi dari hati saya, saya benar-benar nak minta maaf kalau ada yang pernah terasa hati dengan saya,” katanya lagi.