Sekilas
- Nad Hamka mengesahkan majlis perkahwinan adiknya dengan penyanyi Fahimi Rahmat berjalan lancar dan bukan palsu seperti yang dispekulasi.
- Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana, hanya melibatkan ahli keluarga terdekat serta mengekalkan privasi pengantin perempuan dengan menutup wajahnya.
- Nad meminta orang ramai menghormati privasi keluarga dan mendoakan yang baik-baik untuk pasangan pengantin baru tersebut.
Kakak kepada penyanyi Mal Hamka, Nad Hamka meluahkan rasa syukur apabila majlis perkahwinan adiknya bersama penyanyi, Fahimi Rahmat berjalan lancar dan selesai dengan baik.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Nad tampil memberi penjelasan susulan pelbagai spekulasi dan komen netizen berhubung majlis berkenaan yang berlangsung secara tertutup.
“Alhamdulillah selesai semuanya. Mana yang cakap AI tu, maaf cakap, ini betul-betul bukan cubaan,” katanya.
Dalam masa sama, Nad turut meminta orang ramai agar mendoakan perkara yang baik-baik buat pasangan pengantin dan menghormati privasi keluarga, termasuk keputusan menutup wajah pengantin perempuan.
“Mana yang mengata itu, lebih baik korang mendoakan yang baik-baik untuk mereka berdua. Mana yang cakap kenapa tutup muka pengantin perempuan, itu privasi seseorang, jadi kita kena hormat keluarga,” ujarnya.
Tambah Nad, majlis berkenaan diadakan secara sederhana dan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.
“Kita tak besar pun. Selamat datang Fahimi,” katanya lagi.
Terdahulu, penyanyi Fahimi Rahmat selamat bergelar suami kepada adik kepada Mal Hamka, iaitu Bella Hamka dengan sekali lafaz.
Difahamkan, pasangan tersebut disatukan dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Sumber: TikTok