Sekilas
- Nora Danish memilih untuk tidak mengesahkan status hubungannya dengan perunding kewangan Mickey Ayo kerana masih terlalu awal untuk membuat kenyataan rasmi.
- Kedua-duanya dilihat semakin rapat dan berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan pickleball di acara Amber Allstar Picklebash.
- Nora menghargai sokongan peminat dan menasihati Mickey supaya kekal positif walaupun menerima perhatian umum yang mendadak.
Pelakon jelita Nora Danish memilih untuk tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai status hubungannya dengan perunding kewangan, Mickey Ayo, walaupun kedua-duanya dilihat semakin kerap bersama sejak kebelakangan ini.
Menurut Nora, 43, masih terlalu awal untuk mereka membuat sebarang kenyataan mengenai soal perhubungan.
“Saya fikir masih terlalu awal untuk kami komen lebih lanjut. Insya-Allah, kalau ada apa-apa yang baik dan perlu dikongsi, kami akan beritahu perkara itu,” katanya kepada Gempak.
Nora dan Mickey ditemui pada program Amber Allstar Picklebash, di TTDI Damansara malam tadi.
Dalam acara berkenaan, Nora dan Mickey bergandingan dalam pasukan regu pickleball dan berjaya meraih tempat ketiga daripada 16 pasukan yang bertanding.
Nora dalam pada itu turut menghargai titipan doa dan ucapan positif daripada peminat yang seolah-olah merestui hubungannya bersama Mickey.
“Sejak dahulu saya sangat bersyukur kerana memiliki penyokong yang sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan saya sejak awal hingga sekarang. Terima kasih banyak kerana terus berada di sisi saya hingga hari ini. Saya amat menghargainya dan semoga kalian terus mendoakan yang terbaik buat semua,” katanya.
Mengulas tentang Mickey yang kini mula menjadi perhatian umum, Nora mengakui dia sering menasihati jejaka itu agar kekal tenang dan positif.
“Sebenarnya, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa. Jika sudah tertulis begitu, saya terima sebagai takdir. Kadang-kadang memang ada tekanan, terutama bagi Mickey kerana dia tidak biasa dengan perhatian umum.
“Tetapi, saya selalu ingatkan dia supaya melihat semuanya dari sudut yang positif. Setiap perkara pasti ada hikmah. Saya juga selalu latih Mickey untuk menjadi kuat daripada segi mental dan fizikal. Dalam dunia ini, pasti ada yang suka dan ada yang tidak, itu lumrah.”
Mickey pula mengakui perhatian mendadak yang diterimanya membuatkan dia sedikit kekok.
“Memang sedikit kurang selesa sebab saya tak biasa dengan situasi begitu. Bidang saya pun bukan dalam dunia hiburan. Tapi inilah dia, apabila kita berkawan dengan selebriti, perkara seperti ini memang tak dapat dielakkan,” katanya.
Sebelum ini, spekulasi mengenai status Nora kembali hangat selepas beliau memuat naik foto seorang lelaki berkopiah putih, diikuti pula dengan tularnya kad jemputan berinisial ‘M’ dan ‘N’ beserta tarikh 8 September 2025. Namun Nora menafikan dakwaan bahawa beliau bakal berkahwin.
Nora atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif sebelum ini berkahwin dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.
Nora juga pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan berpisah pada 2008, hasil perkahwinan itu mereka memiliki seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 17.