Sekilas
- Gavin Yap berkongsi pandangan tentang cabaran dan keperluan minat mendalam untuk berjaya dalam bidang teater dan seni persembahan.
- Beliau menegaskan bahawa kerjaya seni bukan pilihan popular dan stabil, tetapi ia adalah panggilan hidup bagi mereka yang benar-benar berminat.
- Gavin kini sedang mempersiapkan pementasan FORK IT yang mengisahkan hubungan makanan dengan keluarga, identiti dan warisan rakyat Malaysia.
Pelakon, penulis dan pengarah Gavin Yap berkongsi pendapat mengenai kerjaya dalam bidang seni, khususnya kepada golongan muda yang mempunyai minat untuk mendalami teater dan seni persembahan.
Gavin juga mengakui bidang teater bukan pilihan kerjaya yang popular atau dianggap tidak mempunyai masa depan yang terjamin, namun mereka yang mempunyai minat terhadap seni akan tetap memilih untuk mengejarnya.
“Dalam pengalaman saya, kalau awak nak belajar teater, awak akan belajar teater. Ketika saya nak belajar teater, seni persembahan, filem dan semua itu, ia bukan pilihan yang popular. Ibu bapa saya pun tak gembira saya nak belajar semua ini.
“Tapi mereka hormat keputusan saya dan tetap menyokong. Kalau ikut kehendak mereka, mungkin saya akan belajar perakaunan atau seni bina,” katanya kepada Gempak.
Gavin berkata, seseorang yang benar-benar mempunyai minat dalam bidang seni tidak seharusnya terlalu memikirkan pandangan orang lain sehingga menghalang mereka daripada mengejar impian.
“Kalau awak ada minat yang benar terhadap seni, saya rasa tak kisah apa orang lain cakap, awak akan tetap mengejarnya.
“Satu perkara yang saya rasa semua golongan kreatif ada persamaan ialah kita semua terdorong untuk melakukan perkara ini. Kita tak mahu buat perkara lain.
“Kita tahu ia bukan kerjaya yang stabil. Itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi bagi mereka yang memilih bidang seni, ia adalah satu panggilan dan cara hidup,” ujarnya.
Dalam pada itu, Gavin berpendapat mereka yang mahu menceburi bidang teater perlu benar-benar mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam.
Katanya, jika seseorang mudah terpengaruh dengan kata-kata bahawa pengajian teater tidak mempunyai masa depan, mungkin bidang tersebut bukan untuk mereka.
“Kalau seseorang beritahu awak jangan ambil diploma teater sebab tiada masa depan, dan awak dengar kata-kata itu, mungkin awak memang tak patut memilih teater.
“Saya pernah dengar Mark Cuban, yang saya minati menerusi Shark Tank, berkata seseorang tidak sepatutnya memulakan perniagaan kecuali ia menjadi satu obsesi.
“Kalau awak sudah mempunyai strategi untuk keluar, ia bukan lagi satu obsesi. Kerjaya dalam bidang seni juga sedikit sebanyak begitu. Awak perlu ada sedikit sifat obses terhadapnya untuk terus mengejar bidang ini,” katanya.
Untuk info, Gavin kini sedang menjalani sesi latihan untuk pementasan karyanya berjudul FORK IT: One Man’s Journey Through Food & Memories yang memaparkan perjalanan kisah peribadi yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia iaitu bagaimana makanan menyatukan keluarga, identiti, warisan dan kenangan.
Selepas dua musim mencetus fenomena di Bobo KL, FORK IT kembali dengan skala lebih besar di JCPAC dari 11 hingga 13 September ini.
Ditulis bersama Honey Ahmad, FORK IT mengimbau perjalanan hidup Gavin sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina dan Inggeris yang turut menyentuh soal keluarga, identiti, nilai kekitaan serta kenangan.