Sekilas
- Amira Othman meluahkan rasa kesal terhadap individu yang sering mengkritik dan mengulas kehidupan peribadinya secara negatif di media sosial.
- Amira menegaskan dia tidak suka bermusuh dan mengajak individu tersebut untuk bersemuka jika ada rasa tidak puas hati, supaya hubungan mereka lebih baik.
- Isu ini timbul selepas individu tersebut mengkritik anak Amira dalam sebuah video yang tular, namun perkongsian itu telah dipadam selepas Amira memberi respons.
Penyanyi dan pelakon, Amira Othman meluahkan rasa kesal terhadapa tindakan seorang individu yang didakwa sering mengkritik serta mengulas mengenai kehidupan peribadinya.
Menerusi satu hantaran di Threads, Amira mempersoalkan tujuan video dirinya diambil sebelum disunting dengan bahagian tertentu disensor.
“Kenapa awak pula suka ambil tahu pasal saya? Kan awak tak suka saya? Kenapa semua video saya awak ambil, tapi disensor? Itu apa tujuannya ya?
“Yang lama-lama pun banyak juga awak kritik, hina, ulas kehidupan saya. Apalah dosa saya pada awak?” luahnya.
Bagaimanapun, Amira menegaskan dia tidak gemar bermusuh dengan mana-mana individu dan berharap perkara tersebut dapat dihentikan.
“Sudah-sudahlah tu. Saya tak suka nak bermusuh sesama manusia ni. Urusan dengan manusia ni panjang dan rumit kalau tak dimaafkan,” katanya.
Tambah pelantun lagu Hati-Hati itu, dia tidak mahu isu tersebut berpanjangan dan berharap individu tersebut berani untuk bersua muka jika mempunyai rasa tidak puas hati terhadap dirinya.
“Sekalipun awak guna fake account, jadi kalau ada tak puas hati, marilah kita bersua.
“Marilah kita sama-sama jadi baik antara satu sama lain. Tidak ada guna menjatuhkan sesama wanita,” ujarnya.
Difahamkan, perkara itu berlaku selepas individu tersebut didakwa menghamburkan kata-kata kecaman terhadap Amira ketika mengulas mengenai anaknya, Muhammad Jarir Umar menerusi sebuah video yang tular di Threads.
Bagaimanapun, menerusi tinjauan Gempak perkongsian individu tersebut telah dipadam beberapa minit selepas penyanyi itu meninggalkan respons. 