Sekilas
- Saiful Apek menerima kecaman hebat selepas tayangan promosi filem Duyung: Legenda Aurora kerana jangkaan tinggi terhadap sekuel filem tersebut tidak dipenuhi.
- Pelakon itu menegaskan kelemahan teknikal filem boleh dielakkan walaupun dengan bajet minimum dan kecewa kerana tidak dimaklumkan awal tentang strategi promosi.
- Filem Duyung: Legenda Aurora akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember 2025 dengan barisan pelakon utama seperti Maya Karin, Yasmin Hani, Yassin dan Saiful Apek.
Pelakon, Saiful Apek mengakui dirinya menerima kecaman hebat susulan tayangan promosi filem Duyung: Legenda Aurora.
Menurut Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, dia meletakkan jangkaan tinggi terhadap karya tersebut kerana ia merupakan filem sekuel kepada naskhah terdahulu yang pernah mencipta fenomena.
“Saya teruk kena hentam, bukan sahaja dekat komen, malah DM pun. Semua orang tanya saya. Saya rasa tak adil orang nak ‘hentam’ saya.
“Kalau benda itu karya baharu mungkin saya tak letak jangkaan tinggi, tapi ini sekuel.
“Sudah tentu saya melihat daripada sudut teknikal, sepatutnya lebih dinaik taraf, lebih ‘enhance’ dan relevan dengan tahun 2025 atau 2026.
“Bila orang tanya secara jujur, saya cakap memang jangkaan saya tinggi sebab ini sekuel. Kalau benda baharu, mungkin tak setinggi itu,” katanya.
Pelakon berusia 56 tahun itu turut berkata, kebanyakan kelemahan yang diperkatakan penonton sebenarnya boleh dielakkan, khususnya dari aspek teknikal, walaupun dengan kos minimum.
“Saya tak menuding jari kepada sesiapa, tetapi banyak perkara teknikal boleh dielakkan.
“Sekarang semua benda dah mudah. Ini pula produk KRU yang sebelum ini menghasilkan filem besar seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Magika dan Cicakman,” jelasnya.
Saiful berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet and Greet Senario, Cik Epal dan Ammar bersama peminat yang berlangsung di Jakel Melaka, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saiful turut mendedahkan dirinya tidak dimaklumkan awal mengenai strategi promosi filem berkenaan, termasuk tarikh tayangan serta pelancaran poster dan treler.
“Saya tak dimaklumkan oleh pihak produksi atau kreatif. Tiba-tiba keluar teaser, treler pula baru keluar dalam masa terdekat sebelum tayangan,” katanya.
Mengulas isu kekangan bajet yang sering dijadikan alasan, Saiful berpendapat filem tersebut tidak sepatutnya diteruskan jika tidak mampu memenuhi kualiti yang diharapkan.
“Kalau dari awal bajet tak cukup, saya lebih rela cakap tak payah buat. Jangan buat kalau tak boleh capai tahap yang sepatutnya,” katanya.
Tambahnya, sejak awal persetujuan menyertai filem itu, faktor bayaran bukan keutamaan, sebaliknya menitikberatkan jalan cerita serta barisan pelakon asal.
“Ia bukan tentang bayaran. Syarat saya mudah, jalan cerita kena kuat dan empat barisan utama mesti ada iaitu Maya Karim, Yasmin Hani, Yassin dan saya. Kalau cukup empat orang ini, saya setuju,” katanya.
Saiful bagaimanapun mengakui rasa kecewa dengan hasil akhir filem tersebut, namun memilih untuk melihat perkara itu dari sudut positif dan enggan terus menyalahkan mana-mana pihak.
Sebelum ini, segelintir netizen mempertikai kostum duyung yang dipakai pelakon filem itu, mendakwa ia kelihatan murah selepas trailer ditayangkan.
Malah, netizen turut membandingkannya dengan filem duyung terdahulu yang dikatakan lebih realistik dan menarik.
Duyung: Legenda Aurora bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember 2025.
Filem itu menampilkan barisan pelakon seperti Anna Jobling, Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.