Sekilas
- Zoey Rahman berkongsi pengalamannya mengatasi masalah keguguran rambut dengan rawatan di sebuah klinik, yang membuatkan rambutnya semakin lebat.
- Dia menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan produk viral di pasaran dan lebih baik mendapatkan rawatan klinik yang betul.
- Zoey menegaskan perkongsiannya bukan ulasan berbayar, sebaliknya bertujuan membantu mereka yang menghadapi masalah rambut sama.
Pelakon dan usahawan Zoey Rahman berkongsi pengalaman peribadinya mengatasi masalah keguguran rambut selepas ramai pengikut bertanyakan perubahan ketara pada penampilannya.
Menerusi hantaran di Threads, Zoey mendedahkan rambutnya kini semakin lebat selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik, sekali gus menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan produk yang tular di pasaran.
"Hari itu ramai DM saya tanya pasal rambut yang semakin lebat. Kalau dulu, masa mandi selalu nampak rambut gugur di lantai bilik air, tapi sekarang Alhamdulillah.
"Korang tak payahlah beli produk yang viral dekat online atau farmasi. Pil ke, serum rambut ke, tonik rambut ke... mereka nak untung lebih. Baik korang pergi klinik yang betul-betul membantu masalah rambut korang," katanya.
Menurut Zoey, dia sebelum ini pernah menjalani prosedur pemindahan rambut (hair transplant), namun rambut asalnya masih mengalami keguguran selepas beberapa ketika.
Bagaimanapun, keadaan itu berubah selepas dia mengambil ubat yang disarankan oleh pihak klinik.
"Ya, dulu saya pernah buat hair transplant. Rambut okey saja, cuma rambut yang lama itu tak beberapa kuat, lama-lama gugur juga. Jadi sekarang saya makan ubat daripada klinik saja.
"Sekarang memang gembira sangat. Korang tengoklah gambar-gambar rambut saya. Bukan setakat rambut saja, bulu kening, bulu mata, misai pun cepat tumbuh," ujarnya.
Dalam pada itu, Zoey menegaskan perkongsiannya bukanlah ulasan berbayar, sebaliknya dilakukan atas dasar mahu membantu mereka yang berdepan masalah sama.
"Ini bukan paid review. Klinik ini pun tak bayar saya. Saya cuma nak kongsi benda yang bagus untuk sesiapa yang ada masalah macam saya dulu. Harapnya dapat membantu. DM saya, nanti saya beritahu klinik itu," katanya.
Sumber - Threads