Pelakon Mimi Lana menyatakan hasratnya untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin sekiranya berpeluang menyertai mana-mana misi bantuan kemanusiaan ke sana.
Menerusi perkongsian di laman Threads, Mimi berkata, dia sangat berharap agar gencatan senjata yang sedang diusahakan benar-benar menjadi kenyataan agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih mudah.
Advertisement
“Kalau betul la gencatan senjata kali ni betul-betul menjadi, saya nak sangat jejak kaki ke bumi Palestin.
"Siapa-siapa yang nak buat misi bantuan ke sana ataupun ada NGO yang akan pergi, tolong beritahu saya,” tulisnya.

Tambah Mimi, buat masa ini dia hanya mampu terus berdoa agar keadaan di Palestin kembali aman dan pintu masuk ke negara itu dibuka untuk urusan kemanusiaan.
“Insya-Allah mudah-mudahan ada peluang satu hari nanti.
“Untuk masa sekarang kena banyak-banyak berdoa supaya gencatan senjata betul-betul berlaku.
“Harapnya lebih mudah nak salurkan bantuan dan masuk ke sana,” katanya lagi.
Sebelum ini, Israel pada Jumaat meluluskan gencatan senjata fasa pertama dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas sekali gus membuka jalan kepada penghentian serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam dan pembebasan tebusan Israel dalam masa tiga hari selepas itu.
Perjanjian yang dimeterai awal pagi Jumaat itu diumumkan selepas rundingan intensif selama 24 jam oleh pihak perantara.
Ia melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin serta penarikan berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza di bawah pelan yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menamatkan perang dua tahun di wilayah terbabit.
Sumber: Thread