Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, mempertahankan isterinya, Bella Astillah, daripada komen netizen yang mendakwa mereka tidak sekufu dalam ucapan di majlis resepsi mereka di MITEC.
- Syed Saddiq menegaskan Bella sudah berdikari sejak kecil dan menggalas tanggungjawab keluarga, manakala dia sendiri masih bergantung pada ibu bapa pada usia sama.
- Majlis resepsi pasangan BASS dihadiri kira-kira 3,000 tetamu dan menandakan penyatuan mereka sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu dengan mas kahwin RM500.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil mempertahankan isterinya, Bella Astillah selepas timbul komen segelintir netizen yang mendakwa mereka tidak sekufu.
Menerusi ucapan pada majlis resepsi mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi, Syed Saddiq menegaskan dirinya bertuah memiliki Bella sebagai pasangan hidup.
Menurutnya, tanggapan bahawa hanya Bella beruntung berkahwin dengannya tidak menggambarkan pengorbanan serta keistimewaan wanita itu yang sudah berdikari sejak kecil.
“Saya lihat ada juga yang melontarkan komen media sosial kata Bella sangat beruntung memiliki saya, Saddiq ini menantu pilihan. Ada pula yang sanggup kata bahawa kita tidak sekufu.
“Saya minta maaf Bella, takkanlah saya nak jawab di Parlimen kan? Saya jawab di pentas yang kami kawal pada malam ini. Saya nak pertahankan isteri saya malam ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, Bella sudah menggunakan bakat seninya untuk membantu keluarga ketika kanak-kanak, sedangkan dirinya pada usia sama masih bergantung kepada ibu bapa.
Katanya, pada usia tujuh tahun, penyanyi dan pelakon itu sudah mampu membantu membawa keluarganya berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu.
“Sekufu saya pada umur tujuh tahun? Saya masih main getah, main pemadam dengan kawan-kawan saya di sekolah.
“Bella dah berlakon, masuk TV, berdikari mencari semua pendapatan yang halal bagi keluarganya,” ujarnya.
Menyentuh soal pendidikan pula, Syed Saddiq berkata, ketika dirinya berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading, Bella menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada dua cahaya mata.
Saddiq turut menyifatkan Ayden Adrean dan Ara Adreanna sebagai anak-anak bijak hasil didikan serta pengorbanan isterinya.
“Bella seorang ibu yang begitu luar biasa mendidik dua anaknya. Sekarang saya ada keistimewaan untuk memanggil mereka anak-anak saya.
“Kalau nak bicarakan soal sekufu, sayalah yang tak layak berdiri di sebelah Bella Astillah.
“Dia wanita dan ibu yang luar biasa. Saya rasa bertuah untuk memanggilnya isteri saya,” luahnya.
Dalam ucapan sama, Syed Saddiq menyifatkan pertemuan mereka sebagai aturan Allah yang menyatukan dua individu daripada latar belakang berbeza.
Untuk rekod, majlis resepsi pasangan yang dikenali sebagai BASS itu diraikan dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu termasuk ahli keluarga, sahabat handai dan rakan selebriti.
Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu.
Majlis akad nikah berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10.40 pagi dengan mas kahwin RM500.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz sebelum bercerai pada 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.