Sekilas
- Kim Khairi lancar lagu terbaru berjudul ‘Mekarlah Selalu’ yang terinspirasi daripada perasaan takut dilupakan oleh insan tersayang.
- Lagu ini menggunakan metafora bunga untuk menggambarkan harapan agar kasih sayang dan kenangan tidak pernah layu walaupun waktu berlalu.
- Kim berharap pendengar dapat kaitkan lagu ini bukan sahaja sebagai lagu cinta, tetapi juga dengan sesiapa yang mempunyai tempat istimewa dalam hidup mereka.
Penyanyi, Kim Khairii tampil dengan karya terbaharu berjudul ‘Mekarlah Selalu’ selepas tamat perjalanannya dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2).
Menurut Kim, lagu tersebut tercetus daripada satu perasaan yang mungkin pernah dirasai ramai, iaitu ketakutan untuk dilupakan oleh seseorang yang amat bermakna dalam hidup.
“‘Mekarlah Selalu’ merupakan sebuah karya yang sangat dekat dengan hati saya kerana lagu ini membawa satu pesan peribadi buat seseorang yang saya sayang. Saya hasilkan lagu ini daripada satu perasaan yang mungkin pernah dirasai ramai orang, iaitu perasaan takut untuk dilupakan oleh seseorang yang kita sayang.
“Saya selalu terfikir, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, adakah orang yang saya sayang akan masih mengingati saya? Sebab itu saya pilih nama ‘Mekarlah Selalu’,” katanya.
Kim berkata, bunga menjadi metafora yang cukup indah dalam menggambarkan perasaan yang ingin disampaikan menerusi lagu tersebut.
“Bagi saya, bunga adalah satu metafora yang sangat indah. Bila kita sayang sesuatu bunga, kita mahu melihatnya terus mekar, cantik dan hidup.
“Begitu juga dengan insan yang saya sayang. Saya mahu dia terus mekar dalam hidupnya, tetapi dalam masa yang sama saya berharap kasih sayang dan kenangan tentang saya tidak pernah layu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kim berharap pendengar tidak hanya menganggap ‘Mekarlah Selalu’ sebagai sebuah lagu cinta, sebaliknya memberi ruang kepada diri masing-masing untuk mengaitkan karya tersebut dengan insan yang mempunyai tempat istimewa dalam hidup mereka.
“Saya tidak mahu pendengar hanya mendengar lagu ini sebagai sebuah lagu cinta.
“Saya mahu mereka mempunyai ruang untuk mengaitkan lagu ini dengan seseorang dalam hidup mereka, seseorang yang mereka sayang, seseorang yang mereka pernah kehilangan, atau seseorang yang mereka harap akan sentiasa mengingati mereka,” ujarnya.
Lagu tersebut dicipta dan diterbitkan bersama Didie Shazry.
Menariknya, Kim berkata pada awalnya dia hanya mahu belajar mengenai muzik daripada Didie, namun selepas banyak berbincang dan meluangkan masa bersama, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah karya bersama.
“Pada awalnya, niat saya sebenarnya adalah untuk belajar tentang muzik daripada Didie. Tetapi selepas banyak berbincang dan meluangkan masa bersama, kami akhirnya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah lagu bersama. Dari situlah lahirnya ‘Mekarlah Selalu’,” katanya lagi.