Skip to main content

Hiburan

“Kalau Sudah Melampau, Baru Ambil Tindakan, Sekarang Saya...” - Zizan Razak

“Kalau Sudah Melampau, Baru Ambil Tindakan, Sekarang Saya...” - Zizan Razak

Sekilas

  • Zizan Razak menerima permohonan maaf secara peribadi daripada individu yang menyunting gambar memenya secara keterlaluan hingga menyentuh sensitiviti agama dan digunakan tanpa kebenaran.
  • Pelakon itu menjelaskan dia tiada masalah jika suntingan dibuat secara berpada-pada untuk hiburan, tetapi menolak jika ia dimanfaatkan untuk kepentingan sendiri.
  • Zizan menganggap suntingan yang mengubah wajahnya menjadi wanita dan biarawati sudah melampaui batas dan tidak sesuai dilakukan tanpa izin.
Advertisement

Pelakon dan pelawak Zizan Razak mendedahkan terdapat individu yang tampil memohon maaf secara peribadi selepas dia menegur pihak yang menyunting gambar memenya secara keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti agama dan digunakan bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.

Menurut Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 42, dia menerima beberapa mesej langsung (DM) daripada individu yang menjelaskan keadaan selain mengakui kesilapan masing-masing.

Advertisement

“Ada yang menghantar DM minta maaf dan menjelaskan keadaan. Saya baca sahaja mesej itu. Untuk membalasnya, saya masih belum sempat. Tetapi baguslah, sekurang-kurangnya mereka meminta maaf.

“Bagi yang tidak minta maaf pula, saya tak tahu kenapa. Tetapi kalau sekadar untuk hiburan dan dibuat secara berpada-pada, saya tiada masalah. Kalau saya benar-benar marah, sudah lama saya bersuara.

“Kalau perkara itu boleh membuat rakyat Malaysia tersenyum, tidak salah. Cuma, apabila ada yang mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri, bagi saya ia memang tidak manis,” katanya.

Zizan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran treler filem Terbang di Carfe, di Petaling Jaya, malam tadi.

Mengulas mengenai suntingan gambar yang mengubah wajahnya menjadi wanita dan biarawati, pelakon filem Polis Evo itu menyifatkan perkara tersebut sudah melampaui batas.

“Apabila gambar saya mula diubah menjadi perempuan, saya rasa ada batasnya. Saya bekerja dalam bidang ini dan terbabit dengan televisyen (TV). Jadi, ada perkara yang perlu dijaga.

“Dulu saya pernah memakai pakaian perempuan, bukannya saya tak pernah buat. Tetapi apabila kita semakin meningkat usia dan lebih matang, kita juga diberitahu bahawa perbuatan menyerupai perempuan adalah haram.

“Saya rasa itu sudah cukup jelas. Ada juga yang mengubah gambar saya menjadi The Nun (biarawati). Biarawati itu bukan agama kita. Jadi, saya rasa perkara itu tidak sesuai kerana sudah menyentuh soal agama Islam,” katanya.

Dalam masa sama, Zizan turut menegur tindakan syarikat yang menggunakan gambarnya untuk tujuan promosi tanpa mendapatkan kebenaran atau bayaran.

“Saya mula nampak peniaga-peniaga kecil menggunakan gambar saya. Saya bukan kata okay atau tak okay, tetapi saya masih boleh bertolak ansur.

“Namun apabila syarikat-syarikat besar pula mula menggunakan gambar saya, saya tak mahu nanti jadi macam kes Datuk M. Nasir yang sampai ke saman dan sebagainya. Bagi saya, itu bukan sesuatu yang sihat.

“Sebab itu saya rasa lebih baik saya keluarkan kenyataan. Bukan sebab marah, tetapi saya mahu bertegas dengan cara yang baik,” ujarnya.

Katanya, dia tidak pernah berniat menghalang orang ramai menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka, namun meminta mana-mana pihak mendapatkan keizinan terlebih dahulu sekiranya melibatkan urusan perniagaan.

“Saya sendiri bukan orang yang mengambil kesempatan terhadap orang lain. Kalau sekadar untuk hiburan, okay, tetapi biarlah berpada-pada.

“Kalau hendak guna untuk tujuan perniagaan, marilah kita berbincang dan minta izin terlebih dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, Zizan mengakui masih bertolak ansur, namun tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya keadaan menjadi semakin melampau.

“Kalau sudah melampau, baru saya akan ambil tindakan, sekarang saya baik hati. Sebenarnya, dari sudut undang-undang, sejak awal lagi saya sudah perasan ada beberapa jenama menggunakan gambar saya.

“Ada juga yang dibuat oleh kawan-kawan sendiri. Sebagai kawan mereka boleh sahaja minta kebenaran atau izin terlebih dahulu. Tetapi mereka terus sahaja memuat naik.

“Saya rasa ia agak biadab, tetapi saya cuba berdepan dengan senyuman. Cubalah kita saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Zizan, dia tidak mahu tindakan undang-undang menjadi pilihan pertama kerana bimbang memberi kesan kepada hubungan serta reputasi perniagaan pihak terlibat.

“Saya masih waras. Kalau betul saya mahu mengambil kesempatan melalui saman yang membabitkan wang, kos dan sebagainya akhirnya merosakkan hubungan serta reputasi perniagaan mereka.

“Lebih baik saya ‘baling secara rambang’ (beri teguran secara terbuka). Jadi, faham-faham sendirilah,” katanya.

Semalam, Zizan memberi peringatan kepada warga maya susulan penggunaan fotonya yang sejak kebelakangan ini dijadikan kandungan tular di media sosial.

Menerusi entri dalam Threads, Zizan berkata, dia tidak menghalang orang ramai menjadikan dirinya sebagai bahan jenaka, namun berharap kandungan yang dihasilkan tidak melampaui batas, terutama membabitkan sensitiviti agama atau digunakan bagi tujuan komersial tanpa kebenaran.

Sebelum itu, pelakon tersebut mencetuskan fenomena di platform Threads apabila fotonya disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen mencuit hati sehingga menjadi tular.

Anda mungkin berminat dengan

[5 Pcs / Pek] Seluar Dalam Seluar Dalam Pertengahan Pinggang Cetakan Awan Comel Wanita, Seluar dalam kapas wanita, Seles

[5 Pcs / Pek] Seluar Dalam Seluar Dalam Pertengahan Pinggang Cetakan Awan Comel Wanita, Seluar dalam kapas wanita, Seles

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

OHNII CNY Exclusive: Oversized Horse Front Haughty Bear Cotton Jersey Tshirt

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

PRE-ORDER [RAYA BERSERI] Wardah Colorfit Velvet Powder Foundation SPF33 PA++|Raya Glow,Suci Lebaran

Girdle Slimming Pant Seluar Kurus Kempis Perut Tidak Bergulung Empat Tulang

Girdle Slimming Pant Seluar Kurus Kempis Perut Tidak Bergulung Empat Tulang

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Nike Paris Saint-Germain Bucket Hat

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Must Watch Video

Advertisement