Sekilas
- Sharmaine Alexander sanggup tinggalkan kerjaya peguam demi kejar impian jadi pelakon.
- Dia beri tempoh dua tahun fokus dalam bidang seni sebelum pertimbang kembali ke guaman jika tidak berjaya.
- Sharmaine juga tinggalkan kerjaya pencipta kandungan untuk beri tumpuan penuh pada lakonan.
Pelakon dan personaliti media sosial, Sharmaine Alexander sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi mengejar impiannya bergelar anak seni.
Pemilik nama Sharmaine Ilenna Rudy Alexander itu mengakui keputusan untuk menceburi bidang lakonan bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan.
Namun, Sharmaine menetapkan tempoh dua tahun untuk memberikan sepenuh perhatian kepada kerjaya seninya sebelum mempertimbangkan untuk kembali ke bidang guaman jika impian tersebut tidak tercapai.
“Sejak saya menandatangani kontrak dengan Rocketfuel, saya berehat selama dua tahun. Dalam masa dua tahun inilah saya berusaha untuk menaikkan nama.
“Kalau kata tak menjadi dalam tempoh yang ditetapkan, saya berniat untuk masuk ke bidang guaman balik. Rakan-rakan peguam saya tidak mempunyai peluangan seperti ini.
“Jadi saya rasa tidak salah untuk saya berusaha sehabis baik dengan peluang yang ada,” katanya kepada Gempak.
Sharmaine berkata demikian ketika ditemui dalam acara Mini Creators Fiesta ABPBH 38 di Ombak KLCC, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sharmaine menjelaskan dia turut memilih meninggalkan kerjaya sebagai pencipta kandungan kerana mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap impian menjadi pelakon yang disegani dalam industri seni.
Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana dia mempunyai cita-cita lebih besar dan mahu mencabar kemampuan dirinya untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan.
“Saya memang tinggalkan kerjaya sebagai pempengaruh untuk jadi seorang pelakon yang berprestij.
“Agak sukar tapi sebab saya mahukan lebih daripada apa yang saya ada sekarang. Saya bercita-cita tinggi,” ujarnya.