Skip to main content

Hiburan

“Kami Bermula Dengan RM40” - Fiziwoo Kongsi Realiti Hidup Sebagai Pereka Fesyen

Fiziwoo

Pengarah urusan jenama fesyen Fiziwoo, Izree Kai akui industri kreatif khususnya fesyen masih belum mendapat sokongan sewajarnya daripada pihak berkepentingan.

Jelasnya, kekurangan akses kepada suntikan modal menjadi antara cabaran utama yang memaksa ramai pereka fesyen tempatan untuk berdirkari demi memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.

“Kami merasakan industri kreatif, khususnya fesyen, tidak diberikan kepentingan atau sokongan secukupnya, sama ada daripada kerajaan mahupun pihak perbankan. Apabila sukar mendapatkan geran atau modal, pereka terpaksa mencari jalan sendiri,” katanya.

Sementara itu, pereka fesyen di sebalik jenama Fiziwoo, Hafizi Woo pula mendedahkan sektor perbankan sering menganggap industri fesyen sebagai perniagaan berisiko tinggi berbanding sektor lain seperti automotif atau kejuruteraan.

“Apabila kami memohon pinjaman, prosesnya jauh lebih sukar. Inilah realiti yang kami lalui. Ramai pereka fesyen terpaksa berdikari, membuat pinjaman di sana sini kerana perniagaan perlu diteruskan.

“Kami bermula hanya dengan RM40 duit syiling yang dikumpul. Itulah realiti bagaimana Fiziwoo mampu bertahan sehingga hari ini.

“Bukan sahaja usaha ini dilakukan oleh kami berdua, tetapi juga oleh pasukan di belakang kami, sama ada yang pernah bersama atau yang masih setia hingga kini,” ujar Fizi.

Dalam pada itu, Hafizi turut menasihatkan golongan muda yang bercita-cita menceburi industri fesyen agar tidak mudah terpedaya dengan imej kemewahan yang sering dipaparkan di media sosial.

“Perjalanan ini tidak mudah. Apa yang anda lihat di media sosial hanyalah luaran. Tekanan dalam industri ini sangat nyata kerana kami perlu sentiasa pantas menghasilkan koleksi baharu dan bersaing dalam pasaran,” katanya lagi.

Terdahulu, industri hiburan dan fesyen tanah air turut dikejutkan dengan pendedahan pelakon Datin Intan Najuwa yang memaklumkan suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman, berjaya memenangi kes saman terhadap jenama fesyen terkenal Rizman Ruzaini melibatkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.

Must-Watch Video

Advertisement