Skip to main content

Berita Tempatan

Karl Shafek Himpun 300 Sukarelawan, Bersihkan Dua Tan Sampah Di Pantai Tanjung Gosong

karl-Shafek

Gerakan Pekan Molek, inisiatif yang diasaskan oleh selebriti Karl Shafek Ibrahim dan pengasas jenama fesyen jalanan Neonate Clothing Company, berjaya mengutip hampir dua tan sampah melalui program komuniti sulung mereka, Gotong Royong Sakan.

Acara pembersihan sukarela berskala besar di Pantai Tanjung Gosong, Pekan, Pahang itu bertujuan mengumpulkan belia dan komuniti setempat bagi memupuk rasa cinta terhadap kampung halaman melalui usaha memelihara kebersihan, kelestarian dan warisan alam sekitar.

Advertisement

Dengan pengaruh media sosial, Karl Shafek berjaya menggerakkan lebih 300 belia dan penduduk untuk menyertai aktiviti tanggungjawab sosial ini.

“Saya kerap berada di Pekan sejak Aidilfitri lalu kerana menjaga ayah yang uzur. Apabila melihat keadaan Pantai Tanjung Gosong yang cantik tetapi tercemar dengan sampah, saya terpanggil untuk bertindak.

“Saya gunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menyeru sesiapa yang ada kesedaran agar bersama-sama membersihkan pantai ini. Tak sangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan,” ujar Karl Shafek.

Acara yang berlangsung pada Selasa, 16 September 2025, dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu mendapat sokongan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja serta Ahli Dewan Undangan Negeri (N21) Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib.

Penganjuran Gotong Royong Sakan turut mendapat kerjasama Kelab Anak Muda Perbandaran Pekan dan KRT Pantai Tanjung Gosong.

Acara ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara belia dan sukarelawan dari dalam dan luar Pekan, malah turut disertai jemputan khas seperti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan, Mohd Nasir Jusoh, artis tanah air termasuk Nurkhiriah dan Ieda Moin, serta wakil media.

Para peserta juga berpeluang memenangi hadiah tajaan pasar raya Pantai Selamat dan Fresh Choice.

“Saya sangat gembira kerana peserta hadir bukan semata-mata kerana hadiah, tetapi kerana kesedaran menjaga kebersihan alam kurniaan Allah SWT untuk kita dan generasi akan datang,” tambah Karl Shafek.

Must-Watch Video

Advertisement