Sekilas
- Katy Perry sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan kisah sebenar perkahwinannya dengan Russell Brand melalui dokumentari dan autobiografi.
- Perancangan ini timbul selepas Russell Brand disabitkan kesalahan merogol dan serangan seksual terhadap beberapa wanita.
- Perry telah mengadakan perbincangan aktif dengan beberapa platform penstriman seperti Netflix dan Hulu untuk merealisasikan projek tersebut.
Penyanyi terkenal Hollywood, Katy Perry dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan kisah sebenar di sebalik perkahwinannya bersama bekas suami, Russell Brand, menerusi sebuah dokumentari dan buku autobiografi.
Penyanyi berusia 41 tahun itu didakwa dalam perbincangan aktif dengan beberapa pihak produksi bagi berkongsi pengalaman sepanjang perkahwinan mereka yang berakhir pada 2011.
Perancangan tersebut timbul selepas Russell, seorang pelawak dan pelakon Britain, didapati bersalah atas kesalahan merogol seorang peminat serta melakukan serangan seksual terhadap tiga wanita, 5 November lalu.
Brand dijangka menerima hukuman penjara yang berat padaselepas disabitkan atas kesalahan berkenaan.
Sumber terdekat memberitahu Mail on Sunday Perry sebelum ini menerima beberapa tawaran untuk menceritakan kisah perkahwinannya, namun memilih untuk menunggu sehingga perbicaraan bekas suaminya selesai sebelum membuat sebarang keputusan.
“Perry sudah menerima beberapa tawaran sejak beberapa tahun lalu untuk menceritakan kisahnya, tetapi dia tidak mahu mempertimbangkan apa-apa sehingga perbicaraan selesai.
"Dia mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan," menurut sumber berkenaan.
Sumber itu turut mendedahkan Perry kini sedang mempertimbangkan kemungkinan menghasilkan sebuah siri dokumentari seperti yang diterbitkan Netflix selain menulis autobiografi.
"Ketika ini, dia sedang mempertimbangkan sebuah siri seperti terbitan Netflix dan sebuah autobiografi. Dia bersama pasukannya juga sudah mengadakan perbincangan secara aktif.
"Terdapat banyak perkara mengenai perkahwinan itu yang tidak diketahui umum. Ia merupakan satu tempoh yang sangat gelap dalam kehidupannya," tambah sumber tersebut.
Wakil penyanyi lagu Fireworks itu juga dilaporkan sudah menghubungi beberapa platform penstriman termasuk Netflix dan Hulu bagi membincangkan kemungkinan merealisasikan projek berkenaan.
Sebelum ini, Perry pernah menyuarakan pandangannya mengenai kes membabitkan bekas suaminya ketika bertemu peminat pada Julai lalu.
Ketika malam pembukaan siri jelajah Out of Office UK Tour, penyanyi itu secara terbuka menyatakan harapannya agar lelaki itu menerima hukuman sewajarnya.
"Saya harap bekas suami saya tidak berada di sini. Dia sepatutnya berada di dalam penjara," katanya di hadapan penonton yang memenuhi lokasi persembahan berkapasiti 10,000 orang itu.