Sekilas
- Liana Rosli atau Kak KM hairan disaman oleh kakaknya, Rose Azlina Rosli (Kak Nona), walaupun selama ini membantu menjaga anak-anak kakaknya.
- Kak KM memilih untuk tidak mengulas lanjut demi menghormati permintaan ibu mereka supaya hubungan adik-beradik kembali baik.
- Kak Nona mendakwa adiknya sengaja mengeruhkan keadaan dan telah mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan kepada bekas suami dan Kak KM.
Usahawan sensasi, Liana Rosli mempersoalkan tindakan kakaknya, Rose Azlina Rosli atau dikenali sebagai Kak Nona yang menyamannya kerana memberi kenyataan kepada media mengenai kes yang melibatkan anak-anaknya.
Menurut Kak KM, dia berasa hairan apabila disaman sedangkan dirinya selama ini membantu menjaga anak-anak kakaknya.
"Oooo saman, kesian.
"Aku jaga anak kau, kau nak saman aku? Kau orite tak?," katanya ketika dihubungi Gempak.
Bagaimanapun, Kak KM memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu tersebut demi menghormati permintaan ibunya, Normah Damanhuri yang mengharapkan hubungan adik-beradik itu kembali jernih.
"Lantak dia la nak jadi apa pun, saya kesian tengok mak menangis. Mak minta untuk saya tak cakap apa-apa dan minta saya berbaik dengan dia," ujarnya lagi.
Terdahulu, Kak Nona tampil mempertahankan diri susulan kenyataan yang dikeluarkan adiknya, Kak KM berhubung kes melibatkan anak-anaknya yang kini masih dalam siasatan polis.
Nona atau nama sebenarnya Rose Azlina Rosli, 51, mendakwa adiknya itu sengaja mengeruhkan keadaan apabila tampil memberi kenyataan kepada pihak media mengenai kes tersebut.
Dia yang enggan lagi berselindung turut mendedahkan sudah pun mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada bekas suaminya, Pak Edy dan Kak KM pada Selasa lalu.