Sekilas
- Keanu Azman dan Raja Azura mengambil pendekatan lebih terperinci dengan sesi brainstorming mingguan selepas menerima kritikan netizen tentang kurangnya chemistry mereka di Kilauan Emas Selebriti 2026.
- Keanu menjelaskan kekurangan chemistry pada minggu pertama menyebabkan salah faham netizen yang menganggap Raja Azura terlalu mendominasi, sedangkan mereka belum berbincang secara terperinci sebelum itu.
- Kini, mereka berbincang selama dua hari setiap minggu dan melakukan latihan penuh untuk memastikan pengacaraan lebih lancar, dengan komen positif mula diterima daripada penonton.
Pengacara Kilauan Emas Selebriti 2026, Keanu Azman mengakui dia dan gandingannya, Raja Azura kini mengambil pendekatan memperincikan persediaan serta melakukan sesi ‘brainstorming’ setiap minggu selepas menerima pelbagai kritikan netizen mengenai keserasian mereka.
Menurut Keanu, dia sendiri dapat merasakan kekurangan ‘chemistry’ ketika minggu pertama namun tidak menyangka perkara tersebut begitu ketara sehingga menjadi perbualan hangat dalam media sosial.
“Memang minggu pertama kami rasa atas pentas macam, ‘alamak, chemistry belum ada lagi’. Tapi saya tak sangka orang nampak, rakam skrin, muat naik ke media sosial dan akhirnya meletup.
“Sepanjang 10 tahun dalam industri, ini kali pertama saya viral dan dapat DM sangat banyak setiap hari. Ia agak mengejutkan dan memenatkan secara mental,” katanya.
Bagaimanapun, Keanu menegaskan tidak adil sekiranya kesalahan hanya diletakkan kepada Raja Azura atau Kak Engku selepas ada netizen mendakwa pengacara senior itu terlalu mendominasi sehingga tidak memberinya ruang.
“Netizen tak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Masa itu kami memang belum ada chemistry dan tak ada perbincangan terperinci.
“Bila tak ada chemistry, memang akan nampak macam seorang cuba ‘overshadow’ yang lain. Tapi sebenarnya bukan begitu,” ujarnya.
Selepas menerima teguran, Keanu berkata, mereka kini mengambil pendekatan lebih teliti dengan berbincang selama dua hari setiap minggu bagi memastikan perjalanan pengacaraan lebih lancar.
“Sekarang setiap minggu kami akan duduk berbincang dua hari berturut-turut. Jumaat ada latihan penuh dan Sabtu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum rancangan bermula kami akan teliti skrip.
“Kami bincang nak buat lawak apa, bila nak masuk dan apa ‘punchline’. Jadi, saya rasa tak adil kalau orang salahkan Kak Engku semata-mata untuk minggu pertama,” katanya.
Tambah Keanu, Raja Azura sebenarnya berniat membimbing dirinya sebagai pengacara baharu dan dia sendiri kadangkala masih teragak-agak untuk mencelah ketika mengendalikan program secara langsung.
“Kak Engku niat dia baik. Dia nak tolong dan bimbing saya. Kadang-kadang saya sendiri yang teragak-agak nak masuk atau tidak.
“Alhamdulillah, saya rasa kami semakin baik dan sekarang pun banyak komen yang lebih positif,” ujarnya.
Kilauan Emas Selebriti 2026 bersiaran secara langsung setiap Sabtu, pukul 9 malam menerusi Astro Prima.