Sekilas
- Jihan Muse memohon maaf atas gurauan yang dibuat ketika menjadi juri di konsert akhir Kilauan Emas Selebriti 2026 yang didakwa mengguris hati penonton.
- Jihan mengakui gurauan itu terlepas kerana terlalu selesa berinteraksi dengan Azmi Saat, dan menegaskan dia tidak berniat menyakitkan hati sesiapa.
- Azmi Saat pula menegaskan dia tidak berkecil hati dan memahami gurauan itu sebagai cara rakan-rakan, namun akui penonton mungkin salah faham.
Pelawak dan pengacara, Jihan Muse memohon maaf sekiranya gurauan yang dilontarkannya ketika menjadi juri di konsert akhir program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES) bersama penyanyi, Azmi Saat mendatangkan rasa kurang senang orang ramai.
Menurut pemilik nama Nur Jihan Musa ini, dia menyedari terdapat gurauan yang mungkin terlepas kerana terlalu selesa berinteraksi bersama Azmi sebagai seorang rakan.
“Kalau didengari salah, saya patut minta maaf, bila terlalu kasual kadang-kadang ada gurauan terlepas tak sepatutnya keluar di mikrofon.
“Saya manusia biasa, ada khilafnya. Kadang-kadang seronok gelak, bercakap laju sampai terlepas.
“Yang penting Azmi, apa dia rasa. Kalau ada yang mengguris hatinya, saya minta maaf,” katanya kepada Gempak.
Jihan berkata demikian usai konsert akhir KES bertempat di Aiditorium MBSA, Shah Alam pada Sabtu.
Malah, pemenang tempat kedua program Raja Lawak 3 ini turut mengakui kesilapan boleh berlaku ketika seseorang terlibat dalam siaran secara langsung, selain mengakui tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak.
“Tapi apa pun kita minta maaf atas sensitiviti, saya sebagai manusia kena ada sensitiviti.
“Kalau ada terlepas dan mengguris hati orang yang mendengar, saya minta maaf. Azmi kawan saya dan dia okey tapi benda itu tak sepatutnya jadi tontonan umum,” jelasnya.
“Kita manusia, kadang-kadang jalan secara langsung ada silap, tak boleh nafikan.
“Ada mungkin terlepas dan sebagainya saya minta maaf. Kita bukan sempurna, yang penting adalah kepada tuan badan.
“Kepada mendengar yang rasa tak sesuai, saya minta maaf. Kita pun bukan sempurna, saya pun tak tahu macam mana nak senangkan hati semua orang,” tambahnya.
Sementara itu, Azmi menegaskan bahawa dia tidak berkecil hati dengan gurauan Jihan dan menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada cara rakan-rakan bergurau.
Walau bagaimanapun, Azmi mengakui ada kemungkinan gurauan antara rakan yang dibawa ke kaca televisyen menimbulkan persepsi berbeza dalam kalangan penonton.
“Tak ada, memang langsung tiada, biasanya walaupun gurauan kadang-kadang kasar, bukan Jihan. Sesiapa kawan-kawan di luar sana pun.
“Tapi kita faham mereka nak bergurau dan nak rapat dengna kita. Saya tak pernah simpan dalam hati.
“Dalam masa sama, kita pun akui kadang-kadang gurauan kawan-kawan, terbawa dalam televisyen. Penonton tak kenal kita rapat akan rasa tak seronok.
“Kita pun sama-sama minta maaf, saya sendiri pun sebab terlalu melayan sampai orang terlebih bagi,” ujarnya.
Sebelum ini, Azmi tampil sebagai juri jemputan pada pentas akhir Kilauan Emas Selebriti 2026 bersama Datuk Ramli MS, selain Jihan dan Datuk Yusry sebagai juri tetap.
Gurauan Jihan ketika siaran langsung bagaimanapun mengundang reaksi kurang senang daripada sebahagian penonton apabila dia didakwa menyentuh aspek fizikal Azmi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.