Sekilas
- Datuk Yusry Abdul Halim akan menggunakan pendekatan penjurian yang lebih lembut dan memberi galakan dalam program Kilauan Emas Selebriti 2026 kerana peserta terdiri daripada selebriti veteran bukan penyanyi profesional.
- Yusry menegaskan KES2026 berbeza dengan Gegar Vaganza kerana fokusnya bukan pada kesalahan teknikal, tetapi membantu peserta memperbaiki persembahan mereka setiap minggu.
- Program ini akan disiarkan secara langsung selama tujuh minggu bermula 22 Ogos di Astro Prima, dengan Yusry dan juri lain memberi panduan untuk meningkatkan mutu persembahan peserta.
Penyanyi dan pengarah Datuk Yusry Abdul Halim mengakui pendekatan penjurian yang bakal digunakannya dalam program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) akan lebih ‘lembut’ berbanding pertandingan nyanyian lain.
Menurut Yusry, 53, rata-rata peserta program tersebut jauh lebih senior daripadanya selain beberapa daripada mereka pernah bekerja di bawah arahannya sebelum ini.
“Sebenarnya semua peserta lebih senior daripada saya. Ada empat atau lima orang yang pernah saya arah sebelum ini.
“Macam kita tahu, ‘otai-otai’ ini kalau tidak menjalani penggambaran, mereka suka menyanyi. Saya pun tahu mereka boleh tahan juga menyanyi.
“Jadi, bila nampak nama-nama peserta, saya fikir ini boleh jadi sebuah program yang menyeronokkan,” katanya.
Bagaimanapun, Yusry menegaskan KES2026 tidak boleh dibandingkan dengan Gegar Vaganza (GV) memandangkan pesertanya bukan terdiri daripada penyanyi profesional.
Justeru, pendekatan juri juga bukan bertujuan mencari kesalahan teknikal semata-mata, sebaliknya membantu peserta memperbaiki persembahan.
“Ini bukan Gegar Vaganza, mereka bukan penyanyi. Sebagai juri pun saya difahamkan tak boleh terlalu ‘brutal’ sebab mereka juga buat ini untuk kebajikan.
“Kita bukan nak cakap, ‘Vibrato awak salah’ atau ‘pitching lari’. Ini bukan program seperti itu.
“Konsepnya perlu dibezakan dengan GV. Komen atau pendapat juri lebih kepada bagaimana hendak menjadikan persembahan mereka pada minggu seterusnya lebih menarik dan elemen apa yang boleh ditambah.
“Bukan sangat tentang apa yang mereka buat salah, tetapi apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Yusry tidak menafikan tugas sebagai juri tetap hadir dengan tekanan tersendiri terutama apabila setiap komen mudah mengundang reaksi penonton.
“Saya nampak juri-juri sekarang semuanya berada dalam tekanan. Kalau cakap lebih-lebih, nanti netizen marah.
“Kalau tak beri komen yang cukup pula, orang kata terlalu ‘soft’. Jadi kita kena sentiasa cari keseimbangan,” jelasnya.
Malah, Yusry secara berseloroh mengakui boleh ‘mengalah’ sekiranya diminta memberikan kritikan terlalu keras terhadap peserta yang jauh lebih senior daripadanya.
“Kalau sekadar untuk berseronok, okey. Kalau nak saya komen artis-artis otai dan senior ini, saya ‘give up’ sebab mereka terlalu senior untuk saya nak komen macam-macam,” katanya.
Namun, Yusry berharap penyertaan barisan selebriti veteran tersebut tidak dipandang sebagai sekadar suka-suka kerana mereka tetap mempunyai kemampuan dalam bidang nyanyian.
“Saya harap orang nampak mereka berani menyahut cabaran ini. Jangan pula kata program ini tak perlu diambil serius.
“Mereka ada kemampuan menyanyi. Cuma apa yang hendak dipersembahkan dan lagu yang diberikan, setiap minggu pula ada tema,” katanya.
Tambahnya, fokus utama penjurian adalah memberi galakan dan panduan yang boleh membantu peserta meningkatkan mutu persembahan dari minggu ke minggu.
“Saya rasa akan berbincang dengan juri lain. Seperti saya katakan, bukan nak komen di mana mereka buat salah.
“Kita nak tengok apa yang boleh dibuat lebih baik minggu depan. Jadi, lebih kepada memberi galakan.
“Mungkin disebabkan mereka bukan penyanyi, ada perkara yang mereka sendiri tidak nampak,” katanya.
KES2026 bakal bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama tujuh minggu bermula 22 Ogos ini, setiap Sabtu pukul 9 malam menerusi Astro Prima.