Sekilas
- Datuk Jalaluddin Hassan dinobatkan juara Kilauan Emas Selebriti 2026 pada usia 72 tahun, memenuhi impian lamanya untuk menjadi penyanyi.
- Kemenangan ini membuka peluang baru untuk Jalaluddin mendalami bidang nyanyian secara serius selepas lama berkecimpung dalam lakonan.
- Program Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu dan menampilkan juri profesional serta undian penonton secara dalam talian.
Bintang Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES), Datuk Jalaluddin Hassan tidak menyangka dirinya akan dinobatkan sebagai juara bagi program berkenaan pada Sabtu.
Menurut Jalaluddin, kemenangan itu sesuatu yang tidak pernah dibayangkan memandangkan hasrat untuk bergelar penyanyi sudah lama disimpan sejak zaman kanak-kanak.
“Saya memang berhasrat nak jadi penyanyi sejak kecil lagi sebenarnya cuma tiba-tiba saya beralih jadi pelakon.
“Saya selalu terbayang nak buat persembahan di hadapan dan hari ini saya menang Kilauan Emas di usia 72 tahun.
“Terasa macam main-main, macam mimpi. Tapi itulah yang telah Allah tentukan kepada saya,” katanya kepada Gempak.
Bagi Jalaluddin, kemenangan ini juga sedikit sebanyak membuka ruang baharu untuk dirinya mendalami bidang nyanyian dengan lebih serius.
“Bila dinobatkan sebagai juara, ia memberikan semangat pada saya untuk terus mencari ilmu dalam bidang nyanyian pula.
“Dalam bidang lakonan itu saya dah lock jadi nak cuba lebih serius dalam bidang nyanyian pula,” tambahnya.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam KES, Jalaluddin berkata bahawa pengalaman tersebut membuatkan dia mula sedar betapa mencabarnya kerjaya bagi seorang penyanyi terutama sekali ketika menyertai pertandingan.
“Rupanya bila menyanyi atas pentas yang besar, tempat pertandingan, dia jadi lain. Dia buatkan saya jadi tension dan ada kalanya macam blank dan tak tahu nak buat apa-apa.
“Tiba-tiba jadi tak tahu. Jadi rupanya kita kena belajar benda ni semualah,”katanya lagi.
Pada minggu konsert akhir KES, Jalaluddin dinobatkan sebagai juara dan menerima sebuah trofi sumbangan Astro, single daripada Rocketfuel Entertainment, emas edisi khas tajaan Jus Arabic Gold, hamper tajaan Jus Arabic Gold bernilai RM800, serta tajaan pakej penginapan tiga hari dua malam di Grand Mercure Kuala Lumpur Bukit Bintang.
Bukan itu sahaja, Jalaluddin juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas Berkilau of The Week dan menyerahkan wang sumbangan sebanyak RM2,000 kepada penyampai radio dan pelawak, Salih Yaacob.
Naib juara pula menjadi milik Datuk Tamimi Siregar manakala tempat ketiga milik Zila Bakarin.
Kilauan Emas Selebriti dihoskan oleh Raja Azura dan Keanu Azman.
Kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap.
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan panel juri profesional manakala baki 20 peratus menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos lalu, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.