Sekilas
- Keanu Azman mengakui pernah terdetik mahu diberi peluang sebagai pengacara utama selepas lama mengendalikan tugasan di belakang tabir dan segmen Live+.
- Dia berkongsi pengalaman lucu apabila statusnya sebagai pengacara belakang tabir menjadi bahan gurauan, termasuk dari jiran-jiran sendiri.
- Keanu mengakui rasa gementar menerima tawaran pengacara utama, namun yakin dengan kerjasama dan keserasian bersama pasangan pengacara Kak Engku.
Pengacara, Keanu Azman mengakui pernah terdetik di hatinya bilakah dia akan diberikan peluang untuk tampil sebagai pengacara utama selepas sekian lama mengendalikan tugasan di belakang tabir dan segmen Live+.
Bukan tidak menghargai peluang yang diberukan namun bagi Keanu, sudah tiba masanya untuk membuktikan kemampuan dirinya sebagai seorang hos utama di hadapan penonton.
"Saya kena mengaku, memang ada. Terutamanya apabila orang cakap, ‘Eh, ini yang pengacara belakang-belakang itu kan?’
“Saya rasa, sampai bilalah saya nak diletakkan di belakang, backstage, Live Plus? Bukannya saya tak bersyukur. Saya sangat-sangat bersyukur dengan semua peluang yang diberikan. Tapi saya rasa sekarang adalah masanya. Orang kata rezeki tak pernah salah alamat, tak pernah salah masa juga. Allah tahu bila waktu terbaik untuk memberikan hamba-Nya perkara yang tepat.
“Jadi apabila peluang ini datang kepada saya, saya rasa mesti ada sebabnya ia datang pada masa ini dan saya akan lakukan yang terbaik, insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, Keanu turut berkongsi pengalaman lucu apabila statusnya sebagai ‘pengacara belakang tabir’ pernah menjadi bahan gurauan, termasuk dalam kalangan jiran sendiri.
Menurutnya, dia memilih untuk melihat perkara tersebut dari sudut positif dan menjadikannya sebagai satu bahan jenaka.
“Saya rasa kelakar. Saya rasa kelakar dan saya boleh jadikan ia sebagai bahan gurauan. Bila jumpa orang, saya cakap, ‘Yelah, saya ini kan pengacara belakang-belakang sahaja.
"Pernah jiran saya sendiri, suami dia tanya, ‘Siapa ini?’ Kemudian isterinya jawab, ‘Abang tak kenal? Inilah pengacara belakang-belakang itu.’ Jadi saya rasa perkara itu kelakar kerana orang memang kenal saya, tetapi mereka kenal saya sebagai pengacara belakang tabir.
“Kali ini saya nak tukar persepsi itu. Orang kena tahu siapa Keanu Azman dan kenal Keanu Azman sebagai pengacara utama pula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Keanu tidak menafikan perasaan gementar mula dirasainya sebaik sahaja menerima tawaran untuk mengendalikan tugasan sebagai pengacara utama.
Bagaimanapun, pada peringkat awal dia cuba meyakinkan dirinya bahawa dia mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik.
“Sejujurnya, ketika pertama kali saya menerima panggilan itu, saya gementar. Tetapi pada masa yang sama, saya rasa, ‘Saya boleh buat ini. Saya boleh buat ini.’ Namun semakin dekat dengan tarikh episod pertama dan konsert pertama, rasa gementar itu mula datang.
“Saya dan Kak Engku sudah banyak kali berhubung, banyak berjumpa dan banyak berbincang. Jadi, dalam satu sudut memang gementar, tetapi pada masa yang sama saya rasa insya-Allah gandingan ini akan menjadi kerana pasangan pengacara sangat penting.
“Kalau kita dapat pasangan yang salah, yang tidak serasi dan tidak mempunyai keserasian, ia boleh make or break the show,” jelasnya.