Sekilas
- Zila Bakarin, peserta Kilauan Emas Selebriti 2026, menitikberatkan pemilihan pakaian yang selesa dan sesuai dengan imej berhijab sepanjang pertandingan.
- Dia mengawal pergerakan di pentas dan memastikan busana tidak ketat, keputusan yang dibuat berdasarkan kesedaran diri dan usia 51 tahun.
- Pereka fesyennya memahami kehendak Zila, dan setakat ini dia tidak menerima sebarang komen negatif mengenai penampilannya dalam KES2026.
Bintang Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026), Zila Bakarin mengakui sangat menitikberatkan pemilihan pakaian setiap minggu bagi memastikan penampilannya kekal selesa dan bersesuaian dengan imej berhijab.
Menurut Zila, 51, dia sendiri menetapkan beberapa perkara yang perlu dijaga termasuk memastikan busana tidak terlalu ketat meskipun perlu menyesuaikan gaya dengan konsep persembahan.
“Saya jaga setiap baju yang saya pakai dari minggu pertama sampai sekarang. Saya tak nak ketat-ketat.
“Kalau tengok daripada minggu pertama sampai sekarang, baju saya semua tak ada yang ketat. Saya nak biar longgar dan saya memang jaga benda itu,” katanya.
Malah, ketika mempersembahkan lagu Zombie pada minggu separuh akhir, Zila mengakui turut mengawal pergerakannya supaya tidak keterlaluan di atas pentas.
“Walaupun tadi nyanyi Zombie, saya tak boleh buat pergerakan berlebihan. Saya jaga, bagi sikit-sikit saja,” ujarnya.
Tambah Zila, keputusan berkenaan bukan dibuat atas permintaan suami sebaliknya datang daripada kesedaran dirinya sendiri selepas mengambil kira usia serta imej sebagai wanita berhijab.
“Bukan suami yang beritahu, saya sendiri yang nak. Suami saya tak kisah pun, tapi saya sendiri kena jaga.
“Pertama, saya dah 51 tahun. Kita ini Kilauan Emas, umur 51 tahun. Lepas itu saya kena fikir saya dah berhijab.
“Boleh berhibur, tapi ada batas. Tak bolehlah ketat-ketat,” jelasnya.
Disebabkan itu, Zila berkata, pereka fesyennya, sudah memahami kehendaknya dan akan memastikan setiap busana disediakan mengikut keselesaan yang dimahukan.
“Sekarang pereka fesyen saya dah tahu. Dia akan tanya, ‘Kak, macam ni okey?’ Saya bagi tahu macam mana saya nak pakai dan nanti dia buat lebih besar atau longgarkan sedikit,” katanya.
Dalam masa sama, Zila bersyukur kerana setakat ini tidak menerima kecaman berkaitan penampilannya sepanjang menyertai KES2026.
“Saya kena jaga sebenarnya. Setakat minggu ini, saya tak ada dapat komen buruk daripada orang.
“Tak ada yang cakap, ‘Dah tua, dah bertudung, pakai macam ni pula’. Saya memang jaga setiap baju dari minggu pertama sampai sekarang.
“Saya takut juga. Setakat minggu ini tak ada lagi perkataan negatif untuk saya, Alhamdulillah.
“Saya bukan minta orang puji saya, tapi bagi saya benda itu satu doa. Sebab saya tengok macam mana netizen dekat Threads, jadi saya kena jagalah,” ujarnya.
Zila merupakan antara enam peserta yang berjaya mara ke pentas akhir KES2026 selepas tiada penyingkiran dilakukan pada minggu separuh akhir.