Sekilas
- Zila Bakarin mengejutkan semua dengan merampas tempat pertama dalam Kilauan Emas Selebriti 2026 selepas persembahan lagu Puteri Kota yang mendapat markah tertinggi dan standing ovation juri.
- Konsert minggu ketiga bertemakan Kenangan Mengusik Jiwa menampilkan pelbagai persembahan hebat dari peserta lain seperti Fazlina Ahmad Daud, Khaty Azian dan Datuk Jalaluddin Hassan yang turut mendapat pujian juri.
- Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima dan boleh distrim melalui On Demand, Astro GO dan Sooka.
Bintang Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026), Zila Bakarin mencipta kejutan apabila merampas kedudukan pertama daripada Datuk A. Tamimi Siregar yang mengungguli carta selama dua minggu berturut-turut.
Mendendangkan lagu Puteri Kota nyanyian asal Ella, Zila meraih markah tertinggi sebanyak 79.26 peratus selain menerima ‘standing ovation’ daripada ketiga-tiga juri pada konsert minggu ketiga bertemakan Kenangan Mengusik Jiwa.
Mari kita recap komen untuk semua bintang Kilauan Emas Selebriti minggu ketiga:
1. Zila Bakarin – Puteri Kota (Ella)
Naqiu: Saya kena berdiri untuk ini. Saya memang sengaja tak buat ‘research’ peserta sebab nak dikejutkan. Tadi saya tengok Zila, saya ingat miming, saya ingat Kak Ella menyanyi di belakang. Vokal memang mantap, saya hormat akak.
Datuk Yusry Abdul Halim: Minggu lepas saya cakap kekuatan awak pada netizen, tapi minggu ini awak buktikan kekuatan pada diri sendiri. Penguasaan macam penyanyi profesional, memang ‘power’ dan sangat energetik.
Jihan Muse: Akak menyanyi berjiwa, memang itu akak. Saya rasa akak konsisten dengan tenaga dan keyakinan. Akak memang ‘rock’, penutup pun sangat ‘happening’.
2. Fazlina Ahmad Daud – Khayalan (Black Dog Bone)
Naqiu: Anak legenda dan keluarga semuanya legenda, apa lagi saya nak cakap. Persembahan pembukaan yang baik, siap mula dengan rap. Akak sangat yakin dan saya sangat terhibur.
Jihan Muse: Saya dapat rasa macam saya kena marah, penghayatan itu memang sampai. Karakter akak boleh mengaburi kecacatan kecil dalam persembahan. Semuanya cantik.
3. Khaty Azian – Cinta Kristal (Rahim Maarof)
Naqiu: Bukan mudah berada seorang diri di atas pentas dengan susunan muzik sebegitu. Akustik gitar kemudian muzik semakin ‘build up’, kena jaga tempo. Tapi karakter akak sentiasa ada dan persembahan ada graf dari awal hingga akhir.
Datuk Yusry Abdul Halim: Awak bijak sebab pilih lagu lelaki. Bagus sebab awak faham limitasi sendiri, jadi tak perlu menjerit sangat. Awak bawa karakter sebagai pelakon untuk menjiwai lagu dan kita dapat rasa persembahan itu.
4. Datuk Jalaluddin Hassan – Oh Fatimah (A. Ramlie)
Naqiu: Kalau saya nyanyi lagu ini pun suara lebih kurang sama, jadi sama hebatlah. Saya faham kenapa guru saya Tok Ram sayang Datuk sebab Datuk lengkap.
Jihan Muse: Tahniah. Sepatutnya Tok Ram datang minggu ini, baru best. Datuk masih ‘maintain’ walaupun banyak menari dengan lagu pop yeh yeh.
Datuk Yusry Abdul Halim: Datuk seorang ‘showman’. Vokal bukan isu utama sebab aura dan ‘presence’ Datuk atas pentas memang orang tak boleh lawan.
5. Amyza Aznan – Ya Ilahi Rabbi (Rafeah Buang)
Naqiu: Saya tertanya dari mana datangnya kekuatan untuk habiskan lagu ini. Saya tiada komen, memang hebat. Saya sendiri mungkin tak mampu habiskan persembahan kalau berada dalam situasi itu.
Datuk Yusry Abdul Halim: Minggu demi minggu persembahan awak sentiasa teratur. Penyampaian sangat tertib dan tona suara sedap, memang menusuk jiwa. Saya tahu orang kuat sahaja boleh habiskan lagu itu.
6. Maria Tunku Sabri – Sinaran (Sheila Majid)
Naqiu: Saya faham akak bukan penyanyi yang teknikal dari segi vokal, jadi saya letak perkara itu ke tepi. Tapi dari segi persembahan dan keyakinan, itu yang saya perlukan. Saya rasa semua orang terhibur.
Jihan Muse: Apa pun kelas kau Maria. Kalau saya beli tiket konsert, saya rasa tak sia-sia sebab terhibur. Ini baru hiburan organik. Saya salute kekentalan akak. Mungkin sebelum ini akak ‘down’, tapi hari ini akak dah dapat semula keyakinan itu.
Datuk Yusry Abdul Halim: Setiap perkataan dalam lagu perlu ada penekanan. Awak kena tekan sesetengah perkataan supaya penyampaian tak terlalu mendatar. Sekarang awak masih menyanyi terlalu ‘straight’.
7. Rashdan Baba – Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan)
Naqiu: Dari bacaan lirik pun dah nampak karakter lagu. Saya juga kena puji band pengiring sebab mereka perlu ikut tempo. Tempo adalah perkara asas dan ada bahagian yang sedikit mengganggu perjalanan persembahan, tapi secara keseluruhan memang baik.
Datuk Yusry Abdul Halim: Pada saya bahagian tengah ada sedikit masalah tempo. Tapi walaupun ‘pitching’ dan tempo tak berapa tepat, perasaan itu sampai. Sebagai pelakon, awak berjaya menyampaikan emosi lagu.
8. Datuk A. Tamimi Siregar – Jamilah (Jamil Mirdad)
Naqiu: Terima kasih sebab pernah menjurikan saya. Memang layak Datuk menjurikan saya. Saya tak sempat tulis apa-apa sebab terlalu menikmati persembahan. Kalau saya bertanding, mungkin saya kalah. Cuma ada sedikit kesalahan lirik, tetapi tempo dan ‘pitching’ tak ada masalah.
Datuk Yusry Abdul Halim: Confirm final.
Jihan Muse: Datuk nampak sangat serasi dan selesa di atas pentas. Memang berbisa dan saya tak tahu nak komen apa lagi. Semoga terus sihat dan dapat buat persembahan terbaik untuk menyumbang.
9. Mubarak Majid – Dara Pujaan (L. Ramlie)
Naqiu: Saya beri penghormatan kerana berani buat persembahan begini dengan karakter dan mimik muka. Persembahan ini selamat dan bagus juga daripada segi bagaimana kelemahan diminimumkan.
Datuk Yusry Abdul Halim: Gelek macam penari. Cuma selepas ini mikrofon jangan terlalu jauh. Kalau tona suara kecil, kita tak dengar. Secara keseluruhan persembahan selamat dan menyeronokkan.
10. Rahim Omar – Terharu (Sweet Charity)
Naqiu: Saya pernah nyanyikan lagu ini dan bahagian pernafasan memang sangat mencabar, apatah lagi perlu bergerak ke sana sini. Saya beri penghormatan tertinggi. Dari segi vokal, kalau ada kesalahan kecil pun saya tak mahu komen.
Jihan Muse: Alhamdulillah berjaya membolosi minggu ketiga. Saya percaya lagu ini memang susah. Di hujung ada sedikit terganggu tetapi saya faham kerana fokus pada persembahan.
Datuk Yusry Abdul Halim: Antara peserta yang saya tunggu setiap minggu. Vokal okey, bahasa tubuh okey dan penguasaan pentas okey. Silap atau lupa lirik itu perkara biasa, saya pun selalu lupa lirik.
Berikut merupakan kedudukan bintang-bintang KE Selebrit:

Kilauan Emas Selebriti dihoskan oleh Raja Azura dan Keanu Azman.
Kerusi juri pula menyaksikan gandingan pelawak Jihan Muse dan Datuk Yusry KRU sebagai juri tetap
Dari segi penjurian, sebanyak 80 peratus markah ditentukan panel juri profesional manakala baki 20 peratus menerusi undian penonton secara dalam talian.
Kilauan Emas Selebriti 2026 berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 22 Ogos, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.